TERKINI

Peruntukan Wakil Rakyat : Kerajaan minta pelbagai jaminan, PN tidak teruskan rundingan

Takiyuddin Hassan – foto Malay Mail

KUALA LUMPUR, 3 Nov 2023 – Perikatan Nasional (PN) menegaskan ia tidak akan meneruskan perundingan berkaitan peruntukan sama rata wakil rakyat kepada pembangkang.

Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, beliau sudah beberapa kali berbincang dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkaitan perkara itu.

Begitupun, kerajaan meminta beberapa jaminan malah meminta pembangkang menulis surat kepada kerajaan, seolah-olah memohon peruntukan tersebut.

“”Semasa pemerintahan PN di bawah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kerajaan yang tawarkan kepada pembangkang, untuk tandatangan MoU, setuju dengan syarat dan diberikan peruntukan itu.

“Kenapa kami perlu menghantar surat pula kalau kata benar nak bagi dan kami memberi aku janji tertentu.

“Sebab itulah terhentinya. Kami tidak akan tulis surat apa-apa untuk dapatkan peruntukan,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PN di Kuala Lumpur pada Jumaat.

Takiyuddin turut menekankan janji peruntukan sama rata terkandung dalam manifesto yang dilaungkan pemimpin kerajaan.

“Tapi PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim) ini ‘twist’. Beliau kata ada bagi peruntukan kepada projek-projek dalam kawasan pembangkang. Itu bukan isunya.

“Isunya adalah peruntukan kepada Ahli Parlimen yang diberikan sebelum-sebelum ini,” dakwanya.

Isu peruntukan kepada pembangkang kerap dibangkitkan, termasuk di Dewan Rakyat apabila Ahli Parlimen PN berulang kali mendesak mereka turut diberikan peruntukan daripada kerajaan.

Perdana Menteri juga berulang kali mengingatkan pembangkang, sekiranya mereka mahukan peruntukan, mereka perlu segera berbincang dengan Fadillah.

Walaupun sudah lama dibangkitkan, namun sehingga kini isu tersebut masih belum menemui penyelesaiannya. – Awani

Facebook
Twitter
WhatsApp