TERKINI

Kenapa Rakyat Malaysia Perlu Tolak Penganjuran Konsert Coldplay

Gambar hiasan – foto seribu ombak

Kita sedar, hak dan kebebasan berekspresi adalah hak asasi setiap individu. Begitu juga dengan hak berseni, ia juga hak bagi setiap insan seni mahupun pencinta seni baik sebagai pendengar atau penonton untuk menikmatinya.

Ia tak boleh dihalang kerana manusia ada citarasa masing-masing. Hak itu terpelihara oleh undang-undang. Selagi hak-hak ini dinikmati tanpa mengganggu atau mencabar ruang awam, maka tiada isu.

Perkara di dalam rumah atau ruang peribadi adalah hak peribadi. Ini jelas sudah.

Namun, berbeza dengan isu yang melibatkan kumpulan muzik Coldplay yang dikatakan akan berlangsung pada 22 November tahun ini.

Bagi aku, ini bukan hak dan kebebasan berekspresi, bukan soal muziknya sedap atau liriknya lucah atau pakaian pemuziknya jelek, tak. Bukan itu isunya.

Isunya ialah band Coldplay ini mewakili suara kumpulan yang menyokong cara hidup dua alam iaitu LGBTQ iaitu ‘Lesbian, Gay, Bisexual, Transgender, Intersex, Queer/questioning’. Kalau di Kanada di kenal sebagai  LGBTQ2 (Lesbian, Gay, Bisexual, Transgender, Queer dan Two spirit).

Makhluk-makhluk ini gaya hidupnya songsang (homoseks) yakni bertentangan dengan amalan dan norma manusia yang hidup berpasangan berlawanan jenis.

Pada umumnya, tidak ada mana-mana agama mengiktiraf kehidupan homoseksual – LGBTQ. Namun, akhir-akhir ini, wujud beberapa mazhad dalam agama seperti Kristian, tidak melarang cara hidup tersebut. Itu soal lain.

Aku nak beritahu, masalah Coldplay ni bukan terhad kepada isu agama : Islam atau mana-mana agama. Tetapi ia masalah budaya dan gaya hidup yang dipromosi dan diperjuangkan oleh band Coldplay ini.

Hujah kata “kita bawa Coldplay hanya nak enjoy muzik dia” tak releven.

Bintang seperti Coldplay ini bukan hanya diminati kerana muziknya sahaja tetapi mereka adalah ikon besar yang diikuti dan dijadikan model ikutan, samada secara sedar atau tidak.

Ikon yang menyokong gaya hidup LGBT adalah duta kepada LGBT. Sebagai duta LGBT, mereka tidak boleh lari dari mempromosikan; dalam apa jua bentuk, apa yang mereka percaya kepada pengikut atau peminatnya.

Sebagai contoh, jika kita menjemput seorang tokoh usahawan untuk memberi ceramah keusahawanan atau perniagaan, pastilah penceramah itu akan memberi galakkan kepada peserta untuk mengikut dia berdasarkan pengalaman dan juga kebolehannya.

Penceramah pasti akan meyakinkan peserta tersebut. Bukankah itu yang kita jangkakan dari penceramah itu?

Atas sebab inilah, kita orang Malaysia tak kira apa bangsa atau agama, perlu menolak penganjuran konsert Coldplay ini.

Aku ulang, kita tolak bukan semata-mata soal agama, tetapi kita orang Malaysia tak kira apa jua bangsa atau agama, yang pada dasarnya percaya pada norma peradaban hidup yang berasaskan kitab agama masing-masing – menolak gaya hidup dua alam atau mereka yang menyokong gaya hidup homoseksual.

Malaysia tidak pernah mengiktiraf gaya hidup LGBTQ termasuk mereka yang mendukung gaya hidup itu.

Soal peminat atau pendengar nak mendengar lagu Coldplay atau menonton videonya di youtube, itu ruang peribadi, tak siapa boleh halang. Nikmatilah sampai lebam.

Tetapi yang kita mahu tolak ialah penganjuran konsert terbuka yang bertujuan untuk menggamit ribuan manusia untuk berkumpul menikmati hasil kerja ikonya.

Bagi aku, apabila kerajaan membenarkan penganjuran konsert Coldplay ini, ia memberi mesej bahawa kerajaan ‘mesra’ dengan Ikon yang mendukung LGBTQ. Adakah itu mesejnya?

Jadi, tugas kita untuk memperbetulkan mesej ini.

Azmi Tinta : Pencinta buku falsafah

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp