TERKINI

Khairuddin buat laporan SPRM terhadap perdana menteri

Khairuddin Abu Hassan – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 2 Ogos 2023 – Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan hari ini membuat laporan berhubung salah guna kuasa terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas dakwaan yang dilakukan pada 1999.

Khairuddin berkata laporan itu dibuatnya berdasarkan pendedahan akuan bersumpah (SD) mantan Penolong Gabenor Bank Negara Datuk Abdul Murad Khalid, waktu itu.

“Pihak SPRM adalah sebuah badan pencegahan rasuah yang pada realitinya harus berani menyiasat setiap kes-kes rasuah tanpa ‘memilih bulu’ dan tidak menjadi satu badan ‘cover up’ pada mana-mana pemimpn kerajaan masa kini.

“Harapan saya agar Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki memikul tanggungjawab beliau secara jujur dan amanah untuk menyiasat kes ini secara komprehensif, profesional, adil serta saksama secara ‘without fear and favour’ bagi memerangi sebarang bentuk amalan rasuah di negara kita secara habis-habisan,” kata Khairuddin, dalam satu kenyataan media sejurus laporan itu dibuat.

Laporan itu katanya dibuat di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pada jam 11 pagi dengan dikendalikan oleh pegawai SPRM Premraj Victor.

“Anwar harus berhenti menuduh orang lain sebagai ‘kaki sakau’ sehinggalah siasatan menunjukkan beliau benar-benar bersih dari perbuatan ‘sakau.’

“Setakat ini beliau juga kelihatan sebagai salah seorang pemimpin ‘kaki sakau’ sehinggalah siasatan dijalankan untuk membuktikan di sebaliknya,” kata Khairuddin.

Tambahnya, laporan itu dibuatnya tanpa sebarang faktor emosi tetapi sekadar rasa tanggungjawab sebagai warganegara.

“Sesungguhnya saya hanya mahu menjadi seorang warganegara yang bertanggungjawab dalam melawan salahguna kuasa mahupun amalan rasuah di tanahair yang tercinta ini” kata Khairuddin.

Antara kandungan SD tersebut adalah dakwaan Anwar mengarahkan Abdul Murad melakukan beberapa tindakan korporat menyebelahi rakan dan kroninya, yang mana beliau ketika itu merupakan timbalan perdana menteri dan menteri kewangan.

“Hutang kroni dimansuhkan, diselesaikan menggunakan keuntungan yang diperolehi melalui pengaruh BNM,” dakwanya, dalam SD tersebut. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp