TERKINI

Tak mahu gopoh laksana agenda reformasi, kata Anwar

Kongres parti Keadilan – foto Selangorkini

SHAH ALAM, 26 Nov 2023 – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan tidak akan tergopoh-gopoh dalam melaksanakan agenda reformasi yang telah dijanjikan sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, pendekatan yang dilakukan oleh pentadbiran kini diambil daripada sejarah dunia yang lalu.

“Walaupun ada golongan elit liberal yang mengatakan kita perlahan dalam program reform, tetapi percayalah belajar daripada pengalaman lalu.

“Kalau kita gopoh, baik dalam soal pelaksanaan Islam atau agenda reformasi, kita akan ditolak rakyat. Pengalaman lalu, mesti mengajar kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar di Kongres Nasional Tahunan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2023 yang berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada malam Sabtu.

Sebelum ini, terhadap beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli politik, aktivis dan pemerhati politik mendapat Kerajaan Perpaduan perlahan dalam melaksanakan janji reformasi yang pernah dibuat oleh Pakatan Harapan (PH).

Anwar yang juga Presiden parti itu turut menyentuh mengenai Revolusi Perancis yang berhadapan dengan masalah susulan wujud golongan menuntut perubahan segera.

Menurutnya, slogan ‘liberté, égalité, fraternité’ yang diperkenalkan sewaktu revolusi berkenaan begitu menarik.

“Bagaimanapun, telah muncul kelompok elit Jacobin yang taasub dengan ideologi itu telah secara gopoh mengambil tindakan rakus untuk menterjemah cita-cita mereka dan mengetepikan masalah rakyat.

“Keghairahan dalam segelintir elit menuntut perubahan segera mengakibatkan Robispierre turut diguling dan dipancung.

“Malah terdapat kajian saya baca, memperlihatkan keadaan petani di Perancis lebih parah daripada sebelum revolusi. Ini bermakna 10 tahun selepas revolusi, nasib mereka (petani) jauh lebih parah,” ujarnya. – Sinar Harian

Facebook
Twitter
WhatsApp