TERKINI

Kampung Baru tiada nilai budaya signifikan, kata tokoh akademik

Teo Kok Seong – malayadaily.com

PETALING JAYA, 19 Feb 2024 – Tokoh akademik, Profesor Emeritus Dato’ Dr Teo Kok Seong berpendapat bahawa Kampung Baharu Cina tidak mempunyai sebarang keunikan signifikan untuk dijadikan asas status tapak warisan dunia Unesco.

Memetik laporan FMT, Felo Kanan Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia itu berkata, budaya diamalkan penduduk di kawasan itu tidak berbeza dengan penempatan sedia ada masyarakat Cina lain.

Menyangkal dakwaan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming menyatakan budaya Cina di kampung baru adalah unik, Teo berkata: “(Ia) hanya budaya biasa Cina Malaysia, dan bukannya istimewa seperti Baba Nyonya (masyarakat) di Melaka di mana mereka mengamalkan budaya hibrid Cina.”

Awal bulan ini, Nga berkata persiapan sedang dilaksanakan bagi mencadangkan Kampung Baru di Selangor sebagai tapak warisan dunia Unesco, sebagai pengiktirafan nilai budaya dan sejarah.

Cadangan itu ditolak Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki, yang menyuarakan bantahan ia menjejaskan kedudukan, status Perlembagaan dan hak orang Melayu.

Teo berkata, Malaysia sepatutnya mengutamakan tapak dengan tarikan meluas untuk dicalonkan sebagai tapak warisan dunia seperti George Town dan Melaka.

“George Town dan Melaka secara konsisten memaparkan kualiti kosmopolitan sejak dulu hingga sekarang. Kampung Baru Cina tidak menunjukkan ciri-ciri kosmopolitan…segalanya membabitkan kaum Cina.

“Adakah Malaysia berhasrat menghantar (ke Unesco) dengan kebudayaannya secara signifikannya merujuk kepada satu etnik dan satu budaya?” katanya.

Ibrahim Bakar dari Persatuan Sejarah Malaysia pula berpandangan memilih satu sahaja daripada banyak perkampungan baru Cina di seluruh Malaysia bagi pengiktirafan tersebut sebagai “idea janggal”.

“Sebagai ahli sejarah neutral, saya mengakui ada elemen budaya di Kampung Baru Cina ini, dan sesungguhnya ada aspek sejarahnya. Jadi, ia boleh menepati syarat Unesco.

“Namun, pengiktirafan itu tidak sesuai dengan masyarakat berbilang kaum di Malaysia kerana ia mungkin mencetuskan rasa perkauman dalam kalangan pelbagai kumpulan masyarakat,” katanya.

Ibrahim berkata, fokus kepada Kampung Baru untuk Cina di Malaysia akan meningkatkan persoalan kurangnya pengiktirafan sama bagi kampung baru menempatkan masyarakat India dan penempatan Orang Asli.

“Jadi, ia menjurus kepada kekacauan yang mana bahaya kepada negara,” katanya. – FMT

Facebook
Twitter
WhatsApp