TERKINI

Minoriti Ambil Kesempatan Bila Majoriti Berpecah – Tan Sri Ahmad Zaki

Ahmad Zaki Ansore Mohd Yusuf

KUALA LUMPUR, 10 Julai 2023 – Melayu dan Bumiputera boleh hilang identiti negara sekiranya golongan pendatang mula menjadi pemerintah dan menafikan hak penduduk asal negara ini, kata bekas pegawai tinggi kerajaan.

Tan Sri Ahmad Zaki Ansore Mohd Yusuf berkata, perkara itu boleh berlaku sekiranya orang Melayu dan Bumiputera yang membentuk majoriti rakyat negara ini berpecah-belah sehingga membolehkan kumpulan minoriti mengambil kesempatan.

“Melayu dan Bumiputera perlu sedar kita boleh hilang identiti Melayu jika pihak pendatang perintah dan nafikan hak dan dentiti rakyak asal negara ini, yang juga majoriti.

“Malangnya pihak majoriti ini berpecah kerana kepentingan politik, yang membolehkan puak minoriti mencorakkan identiti negara dan bangsa,” katanya, dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Ahmad Zaki yang berpengalaman luas dalam bidang kewangan, ekonomi, pengurusan awam dan pengurusan pembangunan sosial dalam perkhidmatan kerajaan berkata, keistimewaan untuk orang Melayu adalah satu keperluan memandangkan asas Tanah Melayu didirikan oleh orang Melayu.

“Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan beri hak asas samarata bagi warganegara. Perkara 153 pula beri keistimewaan pada Melayu dan Bumiputera.

“Semasa British datang bawa pendatang ke Tanah Melayu, sudah ada ketua dan kerajaan disini. Campurtangan British mengkucar-kacirkan Tanah Melayu, oleh itu perlu ada keistimewaan untuk Melayu dan Bumiputera,” katanya.

Beliau sehubungan itu bersetuju dengan pendirian bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Syukur Mahathir ingat perkara ini. Alangkah baiknya jika semasa dia perdana menteri dulu ada program bina negara yang lebih baik dan berkesan,” katanya lagi. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp