TERKINI

Kanak-Kanak Maut Mangsa Strok Haba

Gambar hiasan – foto utusan

BACHOK, 28 April 2023 – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 maut selepas mengalami serangan strok haba dalam kejadian di Kampung Perupok, di sini pada Selasa.

Mangsa, Muhamad Syamil Aqil menghembuskan nafas terakhirnya pada pukul 9.27 pagi ketika sedang mendapatkan rawatan di sebuah klinik.

Ibu mangsa yang mahu dikenali sebagai Wanie berkata, anak sulung daripada tiga beradik itu meninggal dunia akibat strok haba dan dehidrasi hasil laporan bedah siasat.

Menurutnya, laporan bedah siasat itu mendedahkan buah pinggang dan jantung anaknya sudah hangus selepas terkena serangan itu.

“Di dalamnya sudah kosong, air dan darah dalam badan sudah kering. Sebelum kejadian, anak aktif berbasikal pada Hari Raya Aidilfitri pertama dan kedua.

“Bagaimanapun, pada hari raya ketiga, dia mengalami demam biasa dan cirit birit. Sepanjang tempoh itu saya memantau rapi suhu badan anak setiap satu jam,” katanya semasa ditemui pemberita di rumahnya di sini hari ini.

Wanie memberitahu, sepanjang tempoh pemantauan itu suhu badan anaknya 37 hingga 38 darjah dan tidak berada dalam keadaan terlalu tinggi.

Katanya, selepas subuh pada hari raya keempat tubuh Muhamad Syamil Aqil  dilihat berada dalam keadaan lemah.

“Susulan itu, saya dan suami terus membawanya ke klinik untuk mendapatkan rawatan lanjut. Secara tiba-tiba anak saya mengalami kekejangan.

“Muhamad Syamil menghembuskan nafas terakhir di klinik, jenazahnya dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) untuk bedah siasat. Jenazah anak saya selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai, selepas Isyak,” ujarnya. – Utusan

Facebook
Twitter
WhatsApp