PUTRAJAYA, 24 Jun 24 – Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan kembali bahawa apa yang berlaku di zaman kerajaan Najib Tun Razak, kini berulang di zaman kerajaan Pakatan Harapan di mana agensi kerajaan digunakan untuk menyiasat pengkritik kerajaan khususnya kepada Perdana Menteri.
Dalam entri terbarunya, mantan perdana menteri ini berkata semasa era Najib dan skandal 1MDB, Peguam Negara yang dilantik telah menyucikan Najib, begitu juga dengan pihak polis, SPRM serta lain-lain agensi yang seharusnya menyiasat skandal tersebut.
“Jabatan-jabatan kerajaan yang menyiasat saya juga turut tidak mempeduli pendedahan terhadap PM dan amat sibuk menyiasat saya.
“Sebaliknya, kesalahan yang dilakukan oleh PM itu tidak dijawab, tidak ada usaha untuk menerangkan sama ada kritikan itu tidak betul atau tersasar.
“Hari ini keadaan yang sama berlaku. Ujarnya.
Menurutnya, adalah tidak salah untuk mendedahkan kesalahan beliau sekiranya ada, malah beliau sedia bekerjasama untuk disiasat.
“Malahan saya berusaha untuk menerang dan bersedia disiasat.
“Sejak beberapa PM sebelum ini, saya telah hadapi RCI, siasatan polis malahan ahli keluarga saya turut disiasat oleh LHDN dan sekarang oleh SPRM.
Mahathir turut menegaskan bahawa sepatutnya Anwar mempunyai berkotak-kotak bukti dan dokumen berkaitan salahlaku beliau seperti yang didakwannya sejak sekian lama.
“Malangnya, sehingga kini tiada bukti yang berkotak-kotak itu.
“Sebaliknya, Anwar terus mengguna landasan-landasan politik untuk mendabik dada bahawa dia pejuang anti-rasuah terunggul dan akan menangkap tak kira Tun ka, ikan bilis atau ikan jerung.
“Tetapi, bila disuruh bukti di mahkamah, dia senyap. Sebaliknya, agensi seperti SPRM diarahkan untuk siasat anak-anak saya kononnya mereka memiliki bukti untuk digunakan terhadap saya.
Mei tahun lalu, Mahathir Mohamad menerusi peguamnya telah memfailkan saman berjumlah RM150 juta terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung dakwaan bahawa beliau mengumpul kekayaan peribadi ketika berkuasa.
Saman tersebut difailkan dengan merujuk ccapan fitnah oleh Anwar yang berlaku pada 18.3.2023 apabila defendan (Anwar Ibrahim) telah membuat ucapan di sebuah program yang bernama Kongres Nasional Khas Malaysia Madani: “Perlaksanaan Sebuah Idealisme” di Stadium Melawati, Shah Alam. – malayadaily.com