KUALA LUMPUR, 4 Sept 2024 – Orang kuat mantan perdana menteri Malaysia, Dato Seri Khairuddin Abu Hassan mencabar Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil untuk bersemuka dan berdebat mengenai kebebasan bersuara di zaman Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim.
Cabaran tersebut timbul apabila Fahmi mengulas kenyataan Tun Dr Mahathir bahawa rakyat tidak mendapat kebebasan bersuara ketika ini.
Ketika mengulas, Fahmi merasa kasihan dengan Mahathir dan menafikan dakwaan tersebut.
“Cuba lihat balik zaman pentadbiran kuku besi Dr Mahathir dahulu..,” ujar Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Dalam satu kenyataan, Khairuddin menyatakan kesediaan untuk berdebat dengan Fahmi dan membuktikan dakwaan menteri tersebut, salah.
“Kalau Fahmi Fadzil Menteri Komunikasi paling haprak seorang ‘anak jantan’ saya cabar beliau untuk berdebat dengan saya secara ‘live’ bagi membuat perbandingan zaman pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Anwar Ibrahim.
“Saya bersedia untuk berdebat dengan Fahmi Fadzil pada bila-bila masa cuma syarat mestilah di stesen televisyen yang disiarkan secara terus menerus agar kedua pihak tidak boleh putar-belitkan fakta. Ujarnya.
Khairuddin juga berkata, Fahmi tidak faham sejarah dan hanya menggunakan platform kerajaan untuk menfitnah Mahathir tanpa memberi peluang untuk menjawab apa-apa dakwaan.
“Fahmi Fadzil budak ‘hingusan’ yang tidak faham fakta sejarah.
“Jangan hanya berani salahguna platform kerajaan untuk memfitnah terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad tanpa mengizinkan pihak kami untuk berjawab segala fitnah seranah tersebut secara adil melalui saluran media yang sama. Tegasnya.
Baru-baru ini, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata bekas Perdana Menteri itu masih boleh bersuara mengeluarkan kenyataan dan bebas bergerak menghadiri mana-mana acara.
“Kasihan Dr Mahathir, dia masih bebas bergerak, masih bebas untuk hadir, masih bebas untuk keluarkan kenyataan, jauh seperti langit dengan bumi zaman pentadbiran sekarang dengan zaman pentadbiran dia.
“Waktu itu saya masih ingat akhbar ditutup, orang yang berdemonstrasi di jalan raya dipukul , ditangkap, ditendang, dipenjara,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Dr Mahathir pada minggu lalu mengkritik kerajaan dengan mendakwa bahawa negara kini kekurangan kebebasan bersuara.- malayadaily.com