TERKINI

Pegawai Imigresen ditahan Polis dalam serbuan di kelab malam

KUALA LUMPUR, 15 Jan 25 – Jabatan Imigresen (JIM) mengesahkan 27 daripada 161 individu yang ditahan dalam serbuan di sebuah kelab malam di Jalan Kampung Pandan di sini pada April 2024 adalah pegawainya.

Memetik laporan Scoop bertarikh 9 Jan 25, kesemua individu itu ditahan di kelab berkenaan dalam serbuan yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (NCID) Bukit Aman.

Laporan tersebut menyatakan bahawa pihak berkuasa telah menyerbu Mansion 9, yang terletak di Jalan Kampung Pandan, pada 26 April 2024 pada jam 1.30 pagi hasil dari maklumat mengenai aktiviti berkaitan dadah di premis itu.

Bagaimanapun, difahamkan, pegawai Jabatan Imigresen yang ditahan dalam serbuan itu dibebaskan selepas didapati negatif dadah.

Laporan Scoop menyatakan sumbernya mengesahkan mengenai serbuan di kelab malam itu yang turut membabitkan beberapa pegawai Imigresen yang sedang berhibur.

“Memang betul kejadian itu berlaku namun difahamkan rata-rata yang ditahan membabitkan pegawai muda.

“Kes itu sudah lama dirujuk ke bahagian tatatertib, namun saya tiada maklumat lanjut mengenai sama ada pegawai yang terbabit masih berkhidmat di sini atau ditukar bahagian,” katanya.

Serbuan itu berlaku hanya beberapa bulan sebelum bekas Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh, pada Julai 2023, menggesa pegawai di agensi tersebut supaya menjaga integriti jabatan dan mengelakkan salah laku.

Malah Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban baru-baru ini mengulangi komitmen jabatan itu terhadap akauntabiliti.

Zakaria turut mengumumkan rancangan untuk mengukuhkan pengawasan dan melaksanakan langkah lebih ketat untuk mencegah insiden serupa yang melibatkan kakitangannya.

Pada November 2019, JIM mengeluarkan pekeling melarang kakitangan berada di kawasan berisiko tinggi seperti pusat hiburan, rumah urut, pusat premis perjudian atau seumpamanya yang boleh menimbulkan syak dan persepsi negatif terhadap organisasi, kecuali dengan kebenaran Pengarah atau atas tugasan rasmi.

Kehadiran pegawai dan kakitangan JIM di lokasi-lokasi ini boleh mendatangkan imej negatif kepada JIM apabila terdapat serbuan oleh agensi penguatkuasa yang lain. – Scoop

Facebook
Twitter
WhatsApp