TERKINI

Letupan di Paris: 37 Cedera, Dua Hilang

Letupan di Paris – Foto portal berita RTM

PARIS, 22 Jun 2023 – Sekurang-kurangnya 37 orang cedera manakala dua lagi hilang dalam tragedi sebuah bangunan meletup di kota Paris atau lebih tepat di Latin Quarter pada Rabu.

Empat daripada mangsa yang cedera itu dilaporkan kritikal dan sedang dirawat di sebuah hospital.

Letupan yang berkemungkinan disebabkan oleh kebocoran gas telah meruntuhkan sebuah pusat pengajian fesyen terkenal, Paris American Academy yang sangat masyhur dalam kalangan penuntut asing.

Media antarabangsa melaporkan sebanyak 70 buah jentera bomba dengan 270 kakitangan dan anggota bergegas ke lokasi bagi memadamkan kebakaran.

Sembilan doktor juga ditugaskan di lapangan bagi membantu merawat mangsa.

Pasukan bomba tempatan berkata, letupan itu telah menyebabkan dua bangunan runtuh, namun, polis kemudiannya memberitahu, hanya sebuah bangunan sahaja yang mengalami keruntuhan.

Agensi berita AFP melaporkan, saksi-saksi kejadian menggambarkan letupan yang berlaku sangat kuat sehingga menyebabkan api marak.

Bahkan, tingkap-tingkap bangunan yang terletal kira-kira 400 meter dari tempat kejadian juga pecah.

Pihak tentera telah dikerahkan untuk membantu memantau tahap keselamatan di kawasan kejadian. – Agensi

Facebook
Twitter
WhatsApp