TERKINI

Kejatuhan nilai ringgit : PM main ‘taichi’ – Ketua Pembangkang

Hamzah Zainudin – malayadaily.com

PUTRAJAYA, 28 Feb 2024 – Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainudin menempelak Perdana Menteri yang disifatkan bermain ‘taichi’ dalam isu kejatuhan matawang ringgit.

Dalam ucapan yang sama, Hamzah turut mengkritik Anwar atas kenyataannya pada Sabtu lalu agar kejatuhan ringgit tidak dijadikan “sepak terajang politik”.

“Bila kena kat batang hidung sendiri, dia ‘taichi’ habis,” kata Hamzah sambil menegaskan, selaku perdana menteri dan menteri kewangan, beliau perlu bertanggungjawab atas prestasi ringgit.

Hamzah ketika sesi perbahasan titah diraja di Dewan Rakyat juga berkata, Perdana menteri sepatutnya memecat menteri kewangan selepas kejatuhan nilai ringgit kerana sebelum ini Anwar begitu lantang mengkritik menteri kewangan yang sebelum ini, dalam isu yang sama.

“Kalau pada 4 Oktober 2022, ketika menjadi ketua pembangkang Tambun (Anwar) boleh marah menteri kewangan (Tengku Zafrul Abdul Aziz) sebab ringgit jatuh, sekarang Tambun adalah perdana menteri…patut marah juga menteri kewangan sekarang (Anwar).

“(Anwar) patut pecat menteri kewangan sekarang,” katanya.

Justeru, dia berkata Anwar juga perlu mengguna pakai piawaian yang sama terhadap dirinya.

Selain kenyataan Anwar pada 4 Oktober 2022, Hamzah turut membacakan beberapa lagi petikan yang dikaitkan dengan presiden PKR itu sebelum ini berkaitan isu nilai ringgit.

Sebelum ini, ketika kempen PRU15 pada 15 November 2022, di mana Anwar dipetik sebagai berkata: “Muhyiddin (sebagai perdana menteri), ringgit jatuh. Ismail Sabri (sebagai perdana menteri), ringgit jatuh. Muhyiddin, harga barang naik. Ismail Sabri, harga barang naik. Sebab itu kita kena tukar, (biar) Anwar bagi harga barang turun”. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp