TERKINI

Kejujuran Hassan Karim Meresahkan Pimpinan PKR

Hassan Karim – foto Agenda Daily

JOHOR BAHRU, 16 April 2023 – Ahli Parlimen PKR Hassan Karim mendedahkan bahawa pandangan jujurnya mengenai kerajaan Anwar Ibrahim meresahkan beberapa pemimpin parti.

Menurutnya, ada yang menghantar mesej kepadanya, memintanya “lebih mengawal diri kerana PKR kini kerajaan”.

Bagaimanapun, beliau memberitahu FMT, “Walaupun saya faham kebimbangan mereka, sukar untuk saya menahan diri atas perkara membabitkan prinsip. Kita memerlukan kejujuran politik.”

Hassan, yang juga Ahli Parlimen Pasir Gudang, adalah antara penyokong kerajaan perpaduan yang lantang bersuara.

Beliau juga menegaskan bahawa penggal ini adalah yang terakhir baginya sebagai Ahli Parlimen.

Hassan berkata, beliau bimbang “salah langkah” boleh merugikan kerajaan pada pilihan raya akan datang.

Dalam gesaan terbarunya terhadap Pakatan Harapan (PH), Hassan berkata, gabungan itu berisiko ditolak pengundi jika bekas perdana menteri Najib Razak diampunkan dan tuduhan rasuah terhadap Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi digugurkan.

Mana-mana senario itu akan menjadi malapetaka buat kerajaan, katanya.

Hassan, yang mengenali Anwar Ibrahim selama lebih setengah abad, berkata, “Saya tidak pernah jadi pak turut, dan tidak akan pernah jadi sebegitu.”

Beliau berkata: “Saya berada di barisan hadapan semasa protes Baling sebagai pemimpin pelajar yang diketuai oleh Anwar pada 1974.

“Selepas itu, saya mengetuai protes setinggan di Johor Bahru, apabila mereka menahan saya. Saya dibuang dari Universiti Pertanian Malaysia dan biasiswa saya ditarik balik.

“Ketua Cawangan Khas kemudiannya berkata, saya boleh mendapatkan semuanya kembali jika saya sanggup mengaku dalam siaran langsung di TV bahawa saya telah digunakan oleh anasir subversif untuk mencetuskan pemberontakan.

“Saya berfikir sejenak, kemudian beredar. Mengapa saya perlu berbohong?”

Hassan yang juga seorang peguam berkata, beliau tidak takut menyuarakan pandangannya ketika itu dan tidak akan berhenti melakukannya sekarang, walaupun itu diinginkan beberapa pemimpin parti.

“Jika kita tidak bersuara apabila parti dalam haluan yang memudaratkan, kita akan menganiaya rakyat yang percaya kepada kita. Jadi, saya akan buat apa yang perlu untuk negara,” katanya. – FMT

Facebook
Twitter
WhatsApp