TERKINI

OIC perlu dirombak, perlu ada pemimpin seperti Mahathir

Khairuddin Abu Hassan – malayadaily.com

Pertubuhan OIC harus dirombak semula dan sepatutnya memilih tokoh pemimpin seperti Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menerajui badan ini.

Negara-negara Islam mudah dibuli oleh kuasa dunia yang ‘samseng’ seperti Amerika Syarikat kerana pertubuhan OIC gagal berfungi secara efektif bagi membela nasib negara-negara Islam yang ditindas oleh kuasa Barat yang senantiasa menjadi proksi kepada Israel.

Amerika Syarikat dan negara-negara Barat yang lain pada hakikatnya adalah proksi kepada Israel dan tindakan-tindakan ke atas negara-negara Islam yang lemah seperti Palestine adalah semata-mata untuk memelihara keselamatan Israel yang ujud dari tanah orang-orang Palestin.

Namun, negara-negara Islam di Timur Tengah juga harus dipersalahkan kerana mereka tidak boleh bersatu padu untuk membina kekuatan Islam di sana.

Amat tidak masuk akal bagi sebuah negara sebesar ‘tahi kuku’ dapat bermaharajalela dengan menindas hak-hak rakyat Palestin selama hampir 70 tahun.

Walhal, Israel dikelilingi oleh negara-negara Islam bertaraf dunia seperti Lebanon, Jordan, Syria, Mesir, Arab Saudi serta beberapa lagi yang berhampiran dengan Palestine serta Israel.

Negara-negara Islam ini lemah kerana kejahilan dan kekufuran masing-masing.

Pada hakikatnya Allah swt telah menganugerahkan satu ‘senjata’ terbesar kepada keseluruhan umat Islam bagi menawan dunia tetapi malangnya ummah sejagat seringkali alpa serta cuai kerana terlalu dibelenggui oleh konflik berbalah sesama Islam.

Allah swt menganugerahkan ‘telaga-telaga minyak’ yang banyak dan besar pada negara-negara Islam sebagai senjata kekuatan utama untuk mempertahankan diri atau menawan ekonomi dunia ini.

Malaysia dan Brunei negara Islam yang kecil turut dianugerahkan dengan telaga minyak tetapi negara-negara jiran ASEAN tidak mempunyai sumber minyak.

Inilah keajaiban anugerah Allah swt kepada negara-negara Islam yang tidak dimunafaatkan secara terbaik mungkin oleh negara-negara Islam di Timur Tengah bagi melawan kuasa dunia Barat yang zalim.

Disebabkan oleh sifat kejahilan orang-orang Arab yang masih tidak mahu bersatu-padu sesama sendiri akhirnya negara Israel yang ujud dari rampasan tanah negara Palestine walaupun saiz sebesar ‘tahi kuku’ dengan penduduk yang kecil dibandingkan dengan negara-negara OIC bertaraf kuasa dunia yang berada di sekeliling Israel akhirnya tidak mampu untuk berbuat apa-apa ke arah mempertahankan hak rakyat Palestine.

Umat Islam sejagat dan pemimpin-pemimpin OIC hanya mampu ‘berpeluk tubuh’ memerhati Israel membuli rakyat Palestine.

Dulu ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri Malaysia suara beliau kedengaran secara amat lantang serta agresif dalam platform OIC mahupun Bangsa-Bangsa Bersatu khususnya dalam isu Palestine, Bosnia, Kosovo dan beberapa lagi.

Tokoh negarawan ini bukan saja bercakap tetapi terus membela negara-negara Islam yang ditindas oleh rejim Zionis mahupun negara-negara Barat pada waktu itu.

Tun Dr Mahathir Mohamad senantiasa bangun membela negara Palestine, Bosnia, Kosovo, serta negara-negara Islam yang lain secara terbuka di pentas antarabangsa.

Pemimpin-pemimpin Arab terlalu meletakkan fokus berbalah sesama sendiri di Timur Tengah dan amat hairan apabila melihat mereka tidak mempunyai semangat secara jujur untuk membela negara-negara Islam yang ditindas oleh rejim Zionis dan juga kuasa-kuasa Barat dari dulu sehingga kini.

Pertubuhan OIC merupakan sebuah pertubuhan yang amat lemah dan kepimpinan pertubuhan ini tidak berdasarkan pada ajaran Islam yang sebenarnya berteraskan Al-Quran serta As-Sunnah.

Jika kita berpegang erat pada ajaran Islam yang tulen sudah pasti nasib negara-negara Islam tidak boleh disentuh dan dipersendakan oleh mana-mana kuasa besar dunia sekalipun.

Pemimpin-pemimpin Islam lebih berpaksikan pada unsur-unsur kejahilan dan ‘kufur nikmat’ dari berpegang pada semangat solidariti ummah sejagat.

Sudah sampai masanya tokoh pemimpin seperti Tun Dr Mahathir Mohamad dipilih untuk mengepalai pertubuhan OIC bagi melaksanakan agenda menyatu-padukan seterusnya memperkuatkan solidariti ummah sejagat bagi melawan dengan kuasa-kuasa besar dunia Barat yang menjadi proksi kepada Israel.

Amat memalukan kerana pertubuhan OIC yang sepatutnya boleh ‘berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah’ dengan badan Bangsa Bangsa Bersatu tidak dihormati mahupun digeruni oleh pihak Barat dan sekutunya.

Hanya Tun Dr Mahathir Mohamad dan Almarhum Raja Arab Saudi Al Malik Faisal yang berani ‘head on’ secara terbuka dengan kuasa-kuasa Barat proksi Israel.

Khairuddin Abu Hassan, Pengerusi Mobilisasi Proklamasi Orang Melayu

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp