TERKINI

Kekal Waspada Ancaman COVID-19 Walaupun Ia Bukan Lagi Darurat Kesihatan Global

Gambar hiasan – foto world economic forum

GENEVA, 9 Mei 2023 – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengingatkan penduduk dunia perlu kekal waspada dengan COVID-19, kerana ia masih memberi ancaman biarpun tidak lagi diisytihar sebagai darurat kesihatan global.

Pengumuman itu, menurut jurucakap Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), bukan bermakna pandemik COVID-19 sudah berakhir.

Menurut Margaret Harris, penduduk dunia tidak boleh salah anggap berkaitan ancaman COVID-19.

“Apa yang dimaksudkan adalah fasa akut bagi kecemasan sudah berakhir. Adalah penting untuk memahami, ia tidak bermakna COVID-19 tidak lagi memberi ancaman.

“COVID-19 masih satu ancaman kepada kesihatan manusia di seluruh dunia,” katanya.

Jelas beliau, pelbagai usaha dilaksanakan sebelum ini membantu meningkatkan tahap imuniti dalam populasi di dunia.

Ia antara sebab COVID-19 bukan lagi dalam fasa akut.

Namun, WHO berpandangan penduduk dunia masih perlu menguruskan COVID-19 sebagai ancaman berterusan terhadap kesihatan.

Ketua Pengarah WHO Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus Jumaat lalu telah mengisytihar darurat kecemasan global ke atas COVID-19 ditamatkan.

Setakat 3 Mei, terdapat sejumlah 765 juta kes COVID-19 di seluruh dunia, dengan 6.9 juta orang maut akibat virus itu. – Awani

Facebook
Twitter
WhatsApp