TERKINI

Kelantan Dapat MB Baharu, Hari ini

Gambar hiasan – malayadaily.com

KOTA BHARU, 15 Ogos 2023 – Datuk Mohd.Nassuruddin yang juga Pengerusi Jawatan kuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta akan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kelantan yang kesembilan, hari ini.

Majlis tersebut dijadual berlangsung di Istana Negeri Kubang Kerian di sini pada pukul 3.30 petang, menurut laporan utusan online.

Utusan online memetik sumber, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan yang sebelum ini menggalas tanggungjawab Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi negeri dilantik sebagai Timbalan Menteri Besar.

“Selain dua jawatan penting itu, hari ini turut berlangsung majlis angkat sumpah melibatkan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).

“Seorang wakil rakyat dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) turut dilantik untuk jawatan Exco pada penggal kali ini,” katanya ketika dihubungi di sini.

Sebelum ini, PAS Pusat telah mengumumkan tawaran untuk menukar barisan kepimpinan Menteri Besar dan timbalannya sekiranya gabungan Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai parti Islam itu kekal menerajui Kelantan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN).

Keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Harian PAS Pusat pada 10 Ogos 2023 di Rusila, Terengganu, yang dipengerusikan oleh Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp