TERKINI

PRN 2023 : Tun Mahathir Mampu Bantu Ekonomi Negara Jika PN Menang, kata Zaid Ibrahim

Zaid Ibrahim – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 1 Ogos 2023 – Kemenangan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri akan membolehkan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kembali membantu memulihkan ekonomi negara, kata Datuk Mohd Zaid Ibrahim.

Bekas menteri kabinet berkata, Mahathir yang berpengalaman selama 22 tahun sebagai perdana menteri sudah mempunyai kepakaran dan rekod cemerlang yang boleh digunakan PN untuk membangunkan negara.

“Kemenangan PN baik untuk ekonomi, Mahathir akan membantu mengembalikan negara ke landasan yang betul.

“Mereka yang lain sekadar teori sedangkan beliau mempunyai rekod prestasi yang sudah terbukti, mari gunakan kepakaran beliauselagi mampu,” katanya, dalam satu kenyataan di laman Twitter miliknya.

Peguam itu berkata, komuniti Cina dan India juga tidak seharusnya gentar dengan istilah gelombang hijau yang digunakan untuk menunjukkan sokongan besar-besaran orang Melayu kepada PN pada Pilihan Raya Umum ke-15 yang lalu.

Menurutnya, sejarah membuktikan melalui kerjasama yang baik dengan komuniti Islam, komuniti mereka mampu mencapai kejayaan dalam pembinaan tamadun termasuk perniagaan dan perdagangan.

“Komuniti perniagaan Cina dan India harus belajar daripada sejarah, mereka sentiasa sejahtera apabila menjalinkan hubungan baik dengan jiran-jiran Islam.

“Hari ini China mempunyai 120 juta orang Islam, tetapi negara-negara jiran di Asia Tengah juga kebanyakannya adalah orang Islam.

“Inisiatif China Road Belt tidak akan berjaya tanpa sokongan negara-negara Islam di Asia Tengah dan Afrika,” kata Zaid.

Beliau juga memetik sejarah di zaman Nabi Muhammad yang mana orang Cina waktu itu mengajarkan pembuatan kertas kepada orang Islam.

“Apabila Cai Lun dan pencipta kertas lain dari China mempunyai konflik perniagaan dengan orang Islam di Baghdad, mereka terlepas daripada sebarang hukuman apabila orang Cina menawarkan untuk mengajar orang Islam cara menghasilkan kertas.

“Hubungan yang sangat baik antara komuniti perniagaan Cina dan orang Islam telah bertahan dalam ujian masa,” katanya.

Zaid mendakwa, untuk PRN kali ini juga terdapat cubaan untuk menakutkan orang Cina dan India dengan sentimen gelombang hijau tersebut.

“Komuniti perniagaan sentiasa lebih bijak daripada propagandis,” tambahnya. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp