28 Ogos 2023 – Menteri Pendidikan Perancis akan melarang pelajar perempuan memakai abaya atau jubah panjang longgar yang lazimnya dipakai oleh wanita Muslim di semua sekolah kerajaan di negara itu menjelang pembukaan musim baharu persekolahan, lapor portal berita Al-Jazeera.
“Saya telah memutuskan bahawa abaya (jubah) tidak boleh lagi dipakai di sekolah,” kata Menteri Pendidikan, Gabriel Attal dalam wawancara dengan sebuah stesen televisyen tempatan.
Perancis yang mengenakan hukuman ketat terhadap semua tanda agama di sekolah-sekolah sejak abad ke-19 telah menggugurkan pengaruh Katolik tradisional daripada pendidikan umum, selain gigih mengemaskini panduan dalam berhadapan dengan pertumbuhan golongan minoriti Muslim di negara itu.
“Apabila anda memasuki kelas, anda seharusnya tidak dapat mengenal pasti agama seseorang pelajar itu hanya dengan melihat penampilan mereka.”
Keputusan ini dibuat selepas berbulan isu pemakaian menutup aurat di sekolah-sekolah Perancis didebatka selain kaum wanita telah lama dilarang bertudung.
Sekolah-sekolah umum di Perancis juga tidak mengizinkan pemakaian salib besar, kopiah Yahudi dan tudung yang sering dikenakan wanita Islam.
Pada tahun 2004, negara ini melarang pemakaian tudung di sekolah dan pada tahun 2010 pula meluluskan undang-undang mengharamkan pemakaian niqab atau purdah yang menutup sebahagian besar wajah wanita Muslim (kecuali mata) di tempat umum sehingga mencetus kemarahan lima juta komuniti Islam.
Pertubuhan hak manusia yang berpihak kepada larangan ini amat bersetuju dengan polisi kerajaan sementara pertubuhan berhaluan kiri pula menyifatkan pengharam itu meragut hak kebebasan sivil.
Dewan Muslim Perancis (CFCM) iaitu sebuah organisasi yang mencakupi banyak pertubuhan bukan kerajaan Islam berpendapat, pakaian yang dikenakan tidak menggambarkan “tanda agama.” – Agensi