TERKINI

Keluarga wartawan Al Jazeera terbunuh dalam serangan Israel

Wael Dahdouh (tengah) – foto X Mohamed Moawad

GAZA, 26 Okt 2023 – Al Jazeera melaporkan, ahli keluarga wartawannya, terbunuh dalam serangan oleh tentera Israel ketika mereka sedang berlindung di kem pelarian sementara selepas diarahkan oleh rejim itu untuk segera meninggalkan kediaman mereka.

Kematian keluarga wartawan veteran Al Jazeera itu mengisi senarai lebih 6,500 rakyat Palestin yang terus menjadi mangsa kerakusan tentera Israel dalam perang yang sudah berlanjutan lebih dua minggu.

“Apa yang berlaku sangat jelas – ia adalah sebahagian daripada sasaran untuk membunuh wanita dan kanak-kanak di Gaza. Saya sedang membuat laporan serangan Israel yang mensasarkan kawasan Nuseirat.

“Kita semua sedia maklum Israel akan menghukum kami (rakyat Palestin) dalam usaha penaklukan. Mereka (Israel) melepaskan dendam kemarahan dengan mensasarkan kanak-kanak,” kata Wahdouh.

Kedukaan Wael Dahdouh tentu sekali tambah berganda kerana berita sedih itu diterimanya ketika beliau sedang bertugas – mengadakan liputan mengenai serangan terbaharu udara Israel di Semenanjung Gaza.

Dahdouh disifatkan sebagai tulang belakang liputan serangan Israel di Gaza bagi stesen penyiaran berita antarabangsa itu.

Beliau turut dilihat sebagai personaliti yang konsisten menyuarakan kesengsaraan rakyat Palestin di Gaza.

Bahkan, sesiapa sahaja orang awam yang mengenalinya akan mengakui tugas mulia dilakukan Dahdouh atas kapasitinya sebagai pengamal media.

Sementara itu, penerbit Al Jazeera, Safwat menggambarkan keluarga Dahdouh sangat masyhur di Semenanjung Gaza.

“Saya sudah mengenali Wael Dahdouh lebih 20 tahun… keluarganya merupakan antara keluarga yang sangat terkenal di Semenanjung Gaza.

“Beliau (Dahdouh) terpaksa menerima hakikat (kematian ahli keluarga sendiri) hanya kerana beliau membuat laporan yang jujur (mengenai kekejaman Israel), yang mana hal ini sudah dijangkakan akan berlaku.

“Kini kami (pengamal media) menerima banyak panggilan telefon daripada saudara-mara yang mahu kami berpindah ke tempat lain.

“Kini adalah saat Wael Dahdouh memerlukan rakan-rakan berada di sekelilingnya. Namun begitu, malang sekali terlalu bahaya untuk mendekati atau berada di sampingnya dalam waktu-waktu yang sukar ini.

“Kami bersedih dengan apa yang berlaku, terutamanya kami tidak dapat berhubung dengan beliau dan berada di sampingnya ketika ini.

“Ini merupakan kesakitan lain yang menambah senarai kesengsaraan kami.”

Menurut laporan Al Jazeera, dua anak Dahdouh yang maut dalam serangan Israeli itu ialah Mahmoud yang sedang belajar di sekolah menengah dan anak perempuan beliau, Sham yang berusia tujuh tahun.

Selain dua anak dan isteri yang terbunuh, beberapa ahli keluarga Dahdouh yang lain juga dilaporkan masih hilang.

Ahli keluarga wartawan itu asalnya menetap di bandar Gaza, namun, berpindah ke kem Nuseirat bersama-sama dengan saudara-mara mereka susulan pengeboman Israel.

Sementara Dahdouh pula kekal di bandar Gaza untuk mengadakan liputan kekejaman zionis itu. – Al Jazeera

Facebook
Twitter
WhatsApp