TERKINI

Kenaikan Harga Barang Tak Akan Berlaku Hingga Hujung Tahun, Salahuddin Beri Jaminan

Gambar hiasan – foto mstar

KUALA LUMPUR, 11 Julai 2023 – Kerajaan memberikan jaminan tidak akan berlaku kenaikan harga barangan yang melampau sehingga hujung tahun ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, ia bersandarkan hasil libat urus melibatkan 30 pemain industri pada minggu lepas.

Menurutnya, jika berlaku sebarang kenaikan, pihak industri akan kembali berunding dengan kerajaan untuk melihat rasional kenaikan.

“Setakat ini, tidak berlaku sebarang kenaikan melibatkan barangan asas bersubsidi. Bagi barangan yang tidak ada subsidi, kita kawal harganya setiap hari.

“Tidak ada negara di dunia ini yang mengawal semua harga barang. Apa yang ada adalah kerajaan bertanggungjawab mengawal beberapa barang asas rakyat. Itu yang kita buat termasuk Malaysia.

“Jadi, jika berlaku fenomena bencana alam, banjir besar dan sebagainya, kita akan pastikan pada masa itu tindakan apa yang perlu dilakukan,” katanya dalam sidang media selepas meninjau harga barangan di Econsave Setapak Sentral, di sini pada Selasa. – Sinar Harian

Facebook
Twitter
WhatsApp