TERKINI

Tun M Bukan Pemecah, Tetapi Penyatu Orang Melayu

Semenjak beberapa tahun ini, nama Tun Dr Mahathir sering dikaitkan sebagai punca orang melayu berpecah. Setiap kali nama Tun Dr Mahathir di petik di sosial media ataupun di blog, pasti ada yang meninggalkan komen bahawa Tunlah penyebab melayu berpecah.

Betul ke Tun Dr Mahathir yang memecah-belahkan orang melayu?

Sebenarnya yang mula memecah-belahkan perpaduan orang melayu ialah Parti PAS, Dato Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyidin Yassin.

Perpecahan orang melayu bermula apabila Tan Sri Dato’ Sri Paduka Raja Dato’ Haji Mohd Asri bin Haji Muda, Dato’ Seri Dr. Burhanuddin bin Muhammad Nur al-Hilmi bersama kumpulan ulama-ulama yang pada mulanya menubuhkan kumpulan ulama UMNO, meninggalkan UMNO untuk menubuhkan parti PAS supaya mereka boleh bertanding dan menjadi wakil rakyat.

Ulama-ulama ini keluar dari UMNO kerana mereka berpendapat Tunku Abdul Rahman tidak akan pilih orang agama untuk menjadi wakil rakyat. Tunku hanya memilih orang yang berpengalaman dalam bidang pentadbiran dan kebiasaannya mereka yang berpelajaran dalam pendidikan Inggeris sahaja di pilih.

Tunku berpendapat orang agama hanya mahir dalam urusan agama sahaja dan tidak berkemampuan untuk mentadbir selain dalam urusan agama. Bagi Tunku, orang agama ini tidak ada peranan.

Perasaan marah dan tidak puas hati ulama-ulama inilah yang akhirnya tertubuh Parti PAS.

PAS menggunakan agama untuk menarik sokongan. Mereka menggunakan agama khususnya di kampung-kampung dengan naratif kalau menolak PAS seolah-olah menolak agama Islam. Pada waktu itu PAS sanggup menggelar UMNO ini kafir kerana UMNO bekerjasama dengan orang kafir.

Itulah cara PAS dan buat pertama kali orang-orang Melayu berpecah kepada orang melayu UMNO dan orang melayu PAS.

Walaupun orang melayu telah berpecah tetapi UMNO masih kuat. UMNO masih memenangi pilihanraya dan terus menang selama 60 tahun sehinggalah era Tun Abdullah Badawi dan kerajaan Dato Seri Najib Tun Razak.

Semenjak itu, Pemimpin UMNO tidak lagi berjuang untuk orang-orang Melayu. Tidak lagi berjuang untuk agama, bangsa dan negara. Mereka berjuang untuk keluarga mereka, untuk kepentingan mereka.

Tun Abdullah berjuang untuk memberi peluang kepada anak dan menantu beliau. Pada mulanya Tun Abdullah mendapat sokongan yang luar biasa dengan memenangi 90% pada pilihanraya tahun 2004.

Hanya dalam jangka masa 4 tahun sahaja, rakyat dapat melihat cara dan gerakan Tun Abdullah. Tun Abdullah bukan membangunkan negara tetapi mempraktikkan nepotisma dengan memberi keutamaan kepada anak dan menantu beliau.

Anak dan menantu Tun Abdullah berkuasa sehingga boleh menyertai mesyuarat kerajaan yang sepatutnya sulit. Sebab itu dalam pilihanraya 2008 selepas kemenangan besar, UMNO kehilangan 5 negeri termasuk Wilayah Persekutuan.

Atas sebab itu jugalah Tun Dr Mahathir telah keluar dari Parti UMNO kerana perjuangan UMNO telah tersasar dari perjuangan orang melayu.

Kemudiannya ramai yang mendesak supaya Tun Abdullah meletak jawatan. Beliau meletak jawatan dan menyerah jawatan kepada Dato Seri Najib Tun Razak kerana Dato Seri Najib merupakan Timbalan Perdana Menteri.

Najib adalah anak Tun Abdul Razak, Perdana Menteri yang rakyat sanjung tinggi kerana Tun Abdul Razak banyak berjasa membantu rakyat khususnya orang-orang melayu. Rakyat meraikan pelantikan Dato Seri Najib sebagai Perdana Menteri kerana ramai beranggapan Dato Seri Najib seumpama ayah beliau.

Tun Dr Mahathir kembali menjadi ahli UMNO

Tetapi apabila Dato Seri Najib menjadi Perdana Menteri, Dato Seri Najib terus menukar dasar. Keperluan dan syarat 30% ekuiti bumiputera di Bursa juga di hapuskan. Kementerian pembangunan usahawan juga di hapuskan pada masa itu. Dia berpendapat soal politik tak penting. Yang penting adalah duit. Cash is King menjadi mantra Dato Seri Najib. Duit menjadi segala-galanya. Kalau bagi duit, UMNO boleh menang.

Tun sekali lagi keluar dari Parti UMNO kerana UMNO telah korup dan menjadi kerajaan Kleptokrat.

Apabila pemimpin-pemimpin UMNO menyeleweng, perlembagaan UMNO memberi ruang dan peruntukan kepada ahli-ahli UMNO untuk menolak pemimpin mereka.

Ahli- ahli UMNO boleh jatuhkan pemimpin melalui undi sahaja tetapi dengan jumlah dedak yang banyak, ahli-ahli UMNO terus menyokong Dato Seri Najib dan Dato Seri Najib kekal berkuasa.

Oleh kerana ahli-ahli UMNO sendiri terus menyokong Dato Seri Najib, Tun Dr Mahathir terpaksa menubuhkan parti baru Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk melawan Kleptokrasi tetapi Parti Bersatu adalah parti baru dan kecil. Dengan sendirinya, parti Bersatu susah untuk menang.

Tun Keluar UMNO Kali ke 2

Semasa Tun Dr Mahathir keluar dari UMNO, hanya 2-3 pengikut sahaja yang mengikuti jejak beliau. Kemungkinan betullah mantra Najib Cash is King.

Semua berdiri kukuh bersama Najib apabila mendapat dedak. Kesan dari Tun yang keluar dari UMNO ini berbeza semasa Tengku Razaleigh dan Dato Seri Anwar Ibrahim keluar dari UMNO dengan berpuluh atau ratusan ribu pengikut menyertai mereka. Kenapa Tengku Razaleigh dan Dato Seri Anwar tidak di gelar pemecah bangsa?

Untuk menjatuhkan kerajaan Kleptokrat Dato Seri Najib dengan sendirinya Bersatu tak mungkin boleh menang. Tun Dr Mahathir menganggap adalah amat penting untuk Dato Seri Najib tidak menjadi Perdana Menteri kerana Dato Seri Najib mencuri, menyalahgunakan kuasa, Najib menghasut orang sehingga orang-orang melayu hanya impikan duit percuma sahaja.

Untuk melawan Kerajaan Kleptokrat, Bersatu harus bekerjasama dengan parti lawan. Parti-parti pembangkang mesti bersatu dan telah terbukti apabila kita bersatu dan bekerjasama dengan parti lawan, barulah kerajaan Kleptokrat Dato Seri Najib berjaya di jatuhkan.

Sabotaj Kerajaan PH-Tun

Pakatan Harapan dapat menubuhkan kerajaan dan Tun Dr Mahathir mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri. Pada ketika itu, Tan Sri Muhyidin juga impikan jawatan Perdana Menteri. Muhyidin menerima hasutan dari Dato Seri Najib yang mengatakan kerajaan yang didirikan ini adalah kerajaan bukan melayu.

Itu memang benar tetapi semasa Tun menjadi Perdana Menteri, Tun dapat menangani pengaruh kaum-kaum lain. Pembentukan kabinet kerajaan di kuasai oleh Menteri-menteri Melayu walaupun nisbah wakil rakyat kaum bukan melayu lebih besar. Tun dapat mengawal keadaan dan situasi. Malah Lim Guan Eng juga tidak boleh mempengaruhi Tun.

Bersatu

Dato Seri Najib membawa cerita kononnya kerajaan Pakatan Harapan ini bukan kerajaan melayu. Dia menuntut kononnya beliau dan PAS boleh menubuh kerajaan Melayu Islam. Ini merupakan hasutan. Tan Sri Muhyidin melihat peluang untuk dia menjadi Perdana Menteri.

Muhyidin, Azmin Ali dan Hamzah Zainuddin bertiga berusaha untuk jatuhkan kerajaan Pakatan Harapan. Langkah pertama mereka ialah untuk menolak Tun sebab itu dalam mesyuarat Bersatu, nasihat Tun untuk tunggu dan lihat apa yang akan berlaku ditolak. Mereka berkeras untuk keluar dari gabungan Pakatan Harapan pada waktu itu juga. Mereka memilih Tan Sri Muhyidin.

Tan Sri Muhyidin keluar dari Pakatan Harapan bersama 6 orang wakil rakyat Bersatu dan Tun bersama 6 wakil rakyat di pecat. Masa tu Bersatu ada 12 wakil rakyat. Separuh bersama Tan Sri Muhyidin dan separuh bersama Tun.

Tun perlu meneruskan Perjuangan untuk orang melayu sebab Tun memang mengenali Tan Sri Muhyidin. Muhyidin akan merosakkan kerajaan. Sebab itu Tun Dr Mahathir terpaksa menubuhkan parti baru sekali lagi dan tertubuhlah Parti Pejuang Tanahair (Pejuang).

Pejuang

Semasa berada bersama Parti Pejuang, tak ada siapa yang sangka Dato Seri Utama Mukhriz sanggup membawa parti Pejuang untuk keluar dari gabungan Gerakan Tanah Air (GTA). Tun Dr Mahathir terpaksa keluar dari parti Pejuang kerana ia bercanggah dengan niat dan hasrat Tun Dr Mahathir yang berjuang untuk menyatupadukan orang- orang melayu yang telah berpecah semenjak PAS ditubuhkan.

Pada waktu itu GTA belum diluluskan tetapi gerakan dan usaha untuk menyatupadukan orang-orang melayu telah digerakkan. Dengan gerakan ini, sedikit sebanyak telah menyatu-padukan orang melayu melalui empat parti-parti politik.

Dalam gabungan GTA juga terdiri dari badan-badan bukan kerajaan atau NGO dan ada juga orang-orang perseorangan. Perpaduan orang melayu telah dimulakan.

Tun Dr Mahathir tidak boleh mengambil terima penyangak, pembelot, pencuri dan penyamun masuk dalam perpaduan orang melayu. Kita kena lawan mereka bukan nak pecah melayu tetapi nak pulihkan orang melayu supaya kerajaan tidak di pimpin oleh pemimpin yang korup dan belot.

Teruskan Perjuangan

Itulah yang berlaku. Bukan Tun Dr Mahathir yang memecah-belahkan orang-orang Melayu. Yang pada permulaan sekali ialah PAS kerana mereka yang mula-mula tinggalkan UMNO.

Yang kedua yang memecahbelahkan orang melayu ialah Dato Seri Najib kerana menyeleweng. Yang memecah-belahkan orang melayu ialah Tan Sri Muhyidin kerana rakus untuk menjadi Perdana Menteri.

Tun Dr Mahathirlah yang cuba, berusaha dan tidak pernah jemu untuk menyatu- padukan balik orang-orang Melayu. Tun tubuhkan GTA kerana nak tarik balik orang melayu yang bebas dari jenayah. Tapi seperti mana yang kita tahu rakyat tidak faham perjuangan Tun Dr Mahathir dan Tun kalah.

Tuduhan yang Tun memecah-belahkan orang-orang Melayu tidak berasas dan tidak benar sama sekali.

Armin Baniaz Pahamin – Seorang Penganalisis Politik

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak mewakili malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp