TERKINI

Tidak Perlu Pertikai Siapa Cetus Konsep Rahmah – Salahuddin

Salahuddin Ayub – foto Malaysiapost

PONTIAN, 25 April 2023 – Isu siapa yang mencetuskan konsep Rahmah tidak perlu dipertikai mana-mana pihak selagi ia dapat memanfaatkan rakyat, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Beliau berkata ini kerana inisiatif Rahmah yang diperkenalkan Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah untuk memberikan faedah kepada rakyat terutama dalam mendepani isu kos sara hidup.

“Saya tidak ada masalah sekiranya mereka (ada parti politik) hendak tuntut tentang inisiatif Rahmah, yang penting bagi saya rakyat yang mendapat faedah.

“Seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, di era beliau sudah ada ‘baby’ iaitu Wawasan 2020, jadi saya rasa itu tidak menjadi pertikaian. Jadi bagi saya, biarlah era Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan konsep MADANI dan memperkenal inisiatif Rahmah yang dapat menyantuni serta mendasari setiap keperluan rakyat,” katanya kepada pemberita di Majlis Rumah Terbuka di kediamannya di Tanjung Piai, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Timbalan Ketua Penerangan Gerakan Tanah Air (GTA) Mahdzir Ibrahim bahawa konsep Rahmah merupakan hasil cetusan Dr Mahathir.

Terdahulu, Mahdzir dalam satu kenyataan dipetik sebagai berkata konsep ‘Rahmah’ yang diperkenalkan Kerajaan Perpaduan didakwa bukan daripada idea Ahli Parlimen Tambun itu sebaliknya merupakan gagasan Dr Mahathir semasa beliau menjadi Perdana Menteri ketujuh. – Bernama

Facebook
Twitter
WhatsApp