TERKINI

MB di negeri utara akan dipanggil SPRM berkait isu rasuah RM6 juta

Gambar hiasan – foto Berita Harian

PETALING JAYA, 10 Jan 2024 – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil seorang Menteri Besar dari sebuah negeri di utara berhubung isu rasuah berjumlah lebih RM6 juta melibatkan persatuan bola sepak.

Menurut sumber, SPRM membuka kertas siasatan selepas menerima laporan daripada kontraktor yang sebelum ini dijanjikan projek di negeri itu jika menyalurkan dana ke akaun persatuan bola sepak berkenaan.

Kata sumber itu, berdasarkan siasatan terdapat individu penting berjawatan tinggi dalam kerajaan negeri dan persatuan bola sepak berkenaan yang berjanji akan memberikan projek pembinaan serta perkhidmatan sebagai balasan kepada kontraktor yang menyumbang dana.

“Namun, selepas kontraktor ini menyalurkan dana ke akaun persatuan bola sepak berkenaan, mereka tidak menerima sebarang projek sebagaimana dijanjikan individu terbabit.

“Kontraktor yang merasakan ditipu telah membuat laporan kepada SPRM atas penawaran projek dijanjikan kepada mereka oleh individu berkenaan,” kata sumber itu yang dipetik portal atas talian FMT.

Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Hishamuddin Hashim, mengesahkan pihaknya akan memanggil menteri besar berkenaan bagi mendapatkan penjelasan lanjut.

Pada 5 Januari lalu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah persatuan bola sepak negeri itu antara empat ditahan SPRM bagi membantu siasatan kes rasuah RM6 juta pada tahun 2020.

Keesokannya, Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Radhi Mat Din, mengesahkan CEO persatuan itu, Zulkifli Che Haron direman SPRM.

Semalam, Sanusi Md. Nor yang juga Presiden KFA berkata, beliau adalah sasaran “sebenar” siasatan SPRM ke atas kes rasuah yang melibatkan persatuan itu.

Beliau mendakwa, individu yang ditahan bagi membantu siasatan kes rasuah RM6 juta pada 2020 itu sekadar “aksesori” kerana dirinya sasaran sebenar “mereka” mahu kaitkan.

Namun, beliau tidak menjelaskan “mereka” yang dimaksudkannya. – FMT

Facebook
Twitter
WhatsApp