TERKINI

Kenyataan Anwar ‘Cuai’ – Muhyiddin Yassin

air times news network

KUALA LUMPUR, 7 April 2023 – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin mengecam kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan tuntutan bertindih dengan China di Laut China Selatan yang dianggapnya sebagai “cuai” dan “tidak sepatutnya dikeluarkan”.

“Kenyataan ini adalah cuai dan tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang perdana menteri.

“Hakikatnya, kawasan cari gali Petronas yang dirujuk oleh perdana menteri adalah dalam wilayah Malaysia dan tidak boleh dirundingkan walaupun dituntut oleh China,” katanya.

Mengulas dalam kenyataan yang sama, Muhyiddin berkata, implikasi kenyataan Anwar itu secara tidak langsung memperakui tuntutan China terhadap kawasan yang sudah sah wilayah Malaysia yang mesti dipertahankan.

Anwar sebelum ini memberitahu Dewan Rakyat bahawa China bimbang kerana Petronas menjalankan kegiatan besar-besaran di satu kawasan di Laut China Selatan yang turut dituntut oleh Beijing.

Perdana menteri berkata, Putrajaya sedia berbincang “kalau China merasakan ini hak mereka”.

Muhyiddin yang juga bekas perdana menteri berkata, kenyataan Anwar tentang keterbukaan Malaysia untuk berunding ke atas hak wilayahnya mengundang risiko ancaman kedaulatan negara.

“Kenyataan perdana menteri yang dibuat di Parlimen ini adalah amat lemah, amat tidak bertanggungjawab dan kelihatan seperti menggadai maruah dan kedaulatan negara kepada kuasa asing.

“Sebagai perdana menteri sepatutnya (Anwar) tegas mempertahankan kedaulatan wilayah negara seperti yang termaktub dalam peta Malaysia 1979,” katanya. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp