TERKINI

Sultan Selangor Titah Isu Kalimah Allah Dibawa ke Majlis Hal Ehwal Agama Islam

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah – foto facebook Selangor Royal Office

KUALA LUMPUR, 8 Jun 2023 – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah agar isu berkaitan kalimah Allah perlu dibawa kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) sebelum merujuk kepada Majlis Raja-Raja.

Baginda bertitah, ini kerana MKI adalah badan yang bertanggungjawab menasihatkan Raja-Raja Melayu dalam menambah baik tadbir urus agama Islam di peringkat Persekutuan.

“Beta juga berpandangan, memandangkan perkara ini melibatkan sensitiviti agama di Malaysia, isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam ini perlu dimuktamadkan dengan segera oleh pihak Kerajaan Malaysia dengan penuh hikmah dan tanggungjawab,” kata Baginda dalam satu kenyataan semalam.

Perkara itu juga sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Al-Muktafi Billah Shah.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam semalam.

Anwar mengadap dan menyembah taklimat kepada baginda berhubung keputusan Kerajaan Malaysia yang telah menarik balik rayuan dalam kes Jill Ireland lwn. Menteri Bagi Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia di Mahkamah Rayuan baru-baru ini.

Dalam pertemuan itu Perdana Menteri juga kata baginda memberi komitmen bahawa kerajaan akan merujuk isu tersebut kepada Majlis Raja-Raja bagi tujuan penetapan dasar berhubung dengan penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di Malaysia.

Sehubungan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mempersembahkan isu berkenaan kepada MKI pada bulan Ogos akan datang.

“Perdana Menteri telah bersetuju dengan cadangan Beta untuk membawa isu ini kepada MKI pada bulan Ogos 2023 sebelum ianya diangkat kepada Majlis Raja-Raja pada bulan Oktober 2023.

“Beta percaya pandangan MKI adalah penting untuk dimajukan kepada Majlis Raja-Raja dalam menetapkan dasar muktamad berhubung penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di Malaysia,” titah baginda yang juga merupakan pengerusi MKI.

Baginda juga menyeru semua pihak agar menghormati peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak dan kuasa Raja-Raja Melayu dalam menentukan perkara berkaitan agama Islam.

“Penyelesaian bagi isu ini hendaklah dibuat dengan berhati-hati dengan berteraskan kepada Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan agama Islam sebagai agama Persekutuan tanpa memprejudis hak orang lain untuk menganut dan mengamalkan agama selain agama Islam dengan aman.

“Beta juga menyeru agar semua pihak tidak mempolitikkan, membangkitkan atau membahaskan isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam ini lagi sehingga Majlis Raja-Raja membuat ketetapan muktamad tentang perkara ini.

“Ini adalah untuk memastikan keharmonian hidup bermasyarakat di Malaysia akan kekal utuh demi menjamin kestabilan sosial dan ekonomi negara ini,” titah baginda lagi. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp