KUALA LUMPUR, 7 Julai 2023 – Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kenyataan fitnah yang dikeluarkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim kepadanya adalah demi memenuhi kehendak peribadi dan bukan bersifat berkepentingan awam.
Dalam jawapan kepada pembelaannya, Mahathir berkata, kenyataan yang dikeluarkan Anwar kepadanya berkaitan beberapa dakwaan nepotisme dan kronisme adalah semata-mata dendam dan berniat jahat.
“Kenyataan-kenyataan fitnah defendan tersebut adalah untuk memenuhi kehendak peribadi dan/atau perasaan dendam dan/atau niat jahat defendan semata dan bukannya untuk kepentingan awam.
“Secara lanjutan, plaintif menegaskan bahawa penekanan ini juga disokong oleh hakikat bahawa serta kenyataan-kenyataan yang di adu tersebut telah disiarkan di ‘Facebook live’ akaun Facebook milik defendan sendiri (yang menggunakan nama ‘Anwar Ibrahim’) dan di Saluran Youtube: ‘Parti Keadilan Rakyat’ tidak dihadkan penyiarannya kepada ‘seluruh negara’.
“….tetapi mampu dan/atau sememangnya dilihat atau mampu dilihat oleh pengguna-pengguna Facebook yang bukan merupakan warganegara Malaysia atau pengundi kawasan pilihan raya parlimen defendan,” kata dokumen berjumlah 59 muka surat itu.
Antara lain, dokumen itu juga berkata, kenyataan Anwar itu tidak lain hanyalah sekadar untuk memperolehi point politik, dan berhasrat untuk mengenepikan peranan Mahathir membantu orang Melayu sepanjang mentadbir kerajaan.
“Kandungan kenyataan-kenyataan fitnah defendan tersebut bukanlah kepentingan awam dan ianya tidak sedikitpun membawa manfaat kepada masyarakat umum dan/atau bukan merupakan kepentingan awam.
“Hakikatnya, defendan hanya mengeluarkan kenyataan-kenyataan fitnah tersebut untuk mengumpul ‘political points’ serta bertujuan untuk menumpulkan perjuangan plaintif yang berniat baik untuk membantu golongan Melayu,” kata dokumen itu.
Malah, bukan menjadi tugas Anwar juga katanya untuk mengemukakan isu yang berlaku lebih 25 tahun lalu, yang mana cuba memburukkan imej Mahathir.
“Ianya bukan tugas defendan untuk mengemukakan isu dan/atau peristiwa yang telah melebihi 25 tahun kepada orang awam dengan tujuan untuk mempalit plaintif dan meletakkan plaintif dalam imej yang sangat buruk (yang mana plaintif menafikan segala penglibatan terhadap peristiwa yang dituduh tersebut),” kata dokumen, lagi.
“Plaintif menegaskan bahawa dalam konteks isu yang sebegitu serius seperti ini, apatah lagi terhadap seorang yang telah menceburi dunia politik sebegitu lama seperti plaintif dan dengan sejarah menyelesaikan isu yang membabitkan kepentingan negara untuk berpuluhpuluh tahun, memanggil untuk pendekatan yang lebih tegas,” tambahnya.
Mahathir turut melihat Anwar sebagai penipu kerana membuat tuduhan nepotisme dan kronisme terhadapnya sejak lebih dua dekad lalu tetapi gagal menunjukkan sebarang bukti.
Dokumen yang difailkan pada 6 Julai lalu oleh Law Practice of Rafique, menunjukkan Mahathir meminta Anwar mengemukakan dokumen terhadap dakwaannya itu pada 23 Jun, namun dibantah Anwar.
Sehubungan itu, Mahathir berkata, tindakan Anwar yang enggan memberikan sebarang bukti berhubung dakwaan nepotisme dan kronisme itu menunjukkan ahli Parlimen Tambun berniat jahat terhadap Mahathir.
Dalam dokumen pembelaannya, Anwar mengatakan Mahathir menyalahguna kedudukan sebagai perdana menteri dan menteri kewangan serta membuat tuduhan kekayaan Mahathir adalah benar.
Beliau juga merujuk kepada usaha menyelamatkan syarikat milik anak Mahathir, iaitu Mirzan Mahathir, Konsortium Perkapalan Bhd (KPB) oleh Petronas dan Malaysia International Shipping Corporation (MISC) pada 1997.
Anwar juga menggunakan contoh penganugerahan kontrak Telekom Malaysia Bhd kepada Opcom Cables Sdn Bhd, syarikat milik Mirzan dan dua anak Mahathir, iaitu Tan Sri Mokhzani Mahathir dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir merupakan pengarahnya. – malayadaily.com