KUALA LUMPUR, A5 jULAI 2023 – Kenyataan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berhubung negara berbilang bangsa tidak selari dengan Perlembagaan adalah benar, dan bukan fitnah, kata peguam
Rafique Rashid berkata, sudah pasti penduduk pribumi dan pendatang tidak mempunyai kedudukan serupa.
“Apa yang dinyatakan oleh Mahathir adalah tepat menurut Perlembagaan Persekutuan dan bukanlah satu fitnah. Bahkan ianya adalah satu fitnah untuk mengatakan bahawa kenyataan Mahathir tersebut sebagai fitnah.
“Tuan tanah dan tetamu yang dibawa dari luar tidaklah sama kedudukannya. Tuan tanah sudah semestinya mempunyai sedikit keistimewaan berbanding tetamu. Ini adalah perkara biasa di semua negara di dunia.
“Jika kedudukannya sama, pastinya satu hura hara dan tragedi besar akan berlaku. Perkara inilah yang mendorong (prompted) pendiri-pendiri negara kita untuk membuat peruntukan mengenai hak keistimewaan orang Melayu di dalam Perlembagaan Persekutuan,” kata Rafique, dalam satu kenyataan.
Mahathir di laman media sosialnya mendakwa, amalan mempromosikan negara berbilang bangsa bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Kata beliau, Perlembagaan sebaliknya hanya menekankan Kemelayuan Malaysia.
Rafique menambah, Perlembagaan sememangnya memberikan beberapa hak keistimewaan kepada orang Melayu berbanding kaum-kaum lain.
“Namun ini tidak bererti bahawa negara ini adalah negara ‘berketuanan Melayu’ (Malay supremacy), sebaliknya, ianya adalah satu negara ‘berkeutuhan Melayu (Malay primacy). Ini kerana Perlembagaan itu sendiri melindungi kepentingan hak-hak kaum selain Melayu melalui Perkara 8 dan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
“Pun begitu, perlindungan hak-hak kaum selain Melayu tidak boleh digunakan sebagai senjata yang ampuh untuk mengingkari Perkara 153 itu sendiri dan menuntut hak sama rata kepada semua kaum, dengan sewenang-wenangnya,” katanya.
Dalam kenyataannya itu, Mahathir turut menyerang DAP dengan mendakwa, jika DAP menarik diri daripada kerajaan perpaduan ketika ini, kerajaan Perdana Menteri Menteri Anwar Ibrahim akan jatuh.
“Sebab itu Anwar terpaksa turut manifesto DAP, khusus menjadi Tanah Melayu negara berbagai kaum dan agama rasmi Islam diganti dengan negara sekular – negara yang tidak ada agama rasmi,” dakwa Dr Mahathir menerusi akaun Facebook beliau.
Dalam penjelasannya, Rafique menegaskan, Perlembagaan Persekutuan tidak pernah menyatakan bahawa hak sama-rata di bawah Perkara 8 adalah satu hak yang mutlak dan ianya tidak bererti bahawa semuanya harus sama-rata.
“Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan itu sendiri menyatakan ianya adalah hak yang tidak mutlak.
“Kenyataan ini pula dizahirkan oleh Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang memberikan hak keistimewaan kepada Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak.
“Terdapat juga peruntukan lain, antaranya Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan yang memberikan kuasa kepada Parlimen dan DUN negeri-negeri untuk menyekat pengembangan agama-agama lain kepada orang Islam, namun tiada sekatan boleh dibuat terhadap pengembangan agama Islam terhadap orang bukan Islam,” katanya.
Hak keistimewaan orang Melayu juga katanya terkandung di dalam Laporan Suruhanjaya Reid 1957.
“Ianya tidak dapat dipertikaikan lagi bahawa sememangnya pendiri-pendiri negara kita (our forefathers) mengakui bahawa negara ini pada hakikatnya bukanlah negara yang berbilang kaum,” katanya. – malayadaily.com