RAKAMAN SUARA KENYATAAN ‘ABANG MAT’ BERHUBUNG SITUASI PEMENJARAAN DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM (DSAI) PADA 2015
- Jabatan Penjara telah meneliti kenyataan melalui wawancara yang dibuat oleh ‘Abang Mat’ yang mengaku sebagai bekas banduan di Penjara Sungai Buloh melalui sebuah video di akaun Youtube ‘’Cili Kasi Taruk’’ pada Tarikh 3 Disember 2023 berdurasi selama 1 Jam 20 minit
- Berasaskan penelitian terhadap rakaman berkenaan, Jabatan Penjara menegaskan kenyataan tersebut adalah tidak benar sama sekali serta berniat jahat. Penjelasan oleh Jabatan Penjara terhadap setiap isu berkaitan penjara adalah seperti berikut:
i. Tiada bilik untuk penempatan banduan VIP di Penjara Sungai Buloh dan mana-mana penjara lain. DSAI telah ditempatkan di klinik Penjara Sungai Buloh di atas pengesyoran oleh pegawai perubatan kerana masalah kesihatan yang dialaminya. Klinik Penjara Sungai Buloh turut menempatkan banduan lain yang memerlukan rawatan dan pemantauan kesihatan yang lanjut. Hampir keseluruhan banduan yang ditempatkan di klinik penjara berkenaan adalah banduan warganegara Malaysia dan bukan hanya banduan warga negara asing. Semua banduan yang berada di klinik penjara disediakan katil sepertimana pengesyoran pegawai perubatan dan untuk kepentingan kesihatan mereka. Segala kemudahan yang disediakan di klinik penjara adalah bagi kepentingan kesihatan banduan dan dengan pengesyoran pegawai perubatan iaitu sepertimana dinyatakan dalam Peraturan 234 Peraturan-Peraturan Penjara 2000.
ii. Manakala kerja-kerja membersihkan kawasan klinik termasuklah bilik-bilik di klinik dilaksanakan oleh banduan yang dipilih dan ditempatkan di klinik berkenaan dan bukannya dari blok penginapan yang lain. Setiap kerja-kerja berkenaan adalah dalam pemantauan secara rapi dan dekat oleh pegawai penjara.
iii. Tiada sebarang tirai dipasang untuk melindungi bilik dasar. Seperti mana bilik-bilik banduan lain, tirai tidak dipasang bagi membolehkan kawalan dan pemerhatian oleh pegawai penjara dapat dilaksanakan tanpa halangan. Malah terdapat juga kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang dikawasan tersebut sebagai bantuan kawalan.
iv. Berhubung dakwaan mengatakan waktu senaman pada sebelah pagi adalah tidak tepat, malah berasaskan rekod jadual yang ditetapkan dan dilaksanakan oleh Penjara Sungai Buloh, kemudahan senaman tersebut dilaksanakan pada waktu petang. Percakapan ‘’Abg Mat’’ menyatakan DSAI
berjogging hanya memakai seluar pendek dan tidak memakai baju juga adalah tidak tepat sama sekali.
v. Bagi sesi lawatan, perjumpaan untuk DSAI adalah sama seperti layanan yang diterima banduan lain iaitu mengikut sistem peringkat dan bukannya pada setiap hari. Perjumpaan pula dilaksanakan ditempat lawatan dan bukannya di klinik penjara. Berasaskan Peraturan 91, Peraturan Peraturan Penjara 2000 DSAI boleh dibenarkan perjumpaan khas bagi urusan yang mustahak dan perlu disegerakan. Kemudahan ini turut diberikan kepada banduan lain dalam urusan berkaitan antaranya kematian, perniagaan, pelajaran dan lain-lain urusan keluarga yang mustahak dan keluarga perlu memohon terlebih dahulu. Hampir kesemua perjumpaan DSAI bersama keluarga isteri DSAI ada bersama.
vi. Bilik penempatan banduan di klinik penjara termasuklah bilik DSAI tidak boleh diakses oleh mana-mana banduan lain. Seterusnya bilik tersebut turut dikawal oleh pegawai penjara yang dikhaskan untuk kawalan DSAI sahaja dan SOP yang disediakan tidak membolehkan banduan lain berada di situ. Bilik DSAI hanya menghadap dinding laluan petugas (pegawai penjara) dan hanya boleh dilihat dari pandangan hadapan bilik berkenaan. Maka, dakwaan ‘’Abg Mat’’ dapat melihat DSAI dalam jarak 50 meter adalah mustahil dan satu rekaan cerita semata-mata.
vii. DSAI semasa berada di dalam penjara mahupun di hospital luar penjara tidak pernah melakukan apa-apa perbuatan yang melanggar tatatertib penjara. Begitu juga pelawat yang melawat beliau di penjara dan hospital turut mematuhi tatatertib lawatan yang diberikan. Kawalan secara rapi oleh pegawai penjara menunjukkan DSAI sentiasa mematuhi peraturan penjara.
viii. Keperluan rawatan lanjut DSAI di hospital luar penjara adalah di atas pengesyoran oleh pegawai perubatan. DSAI turut mendapat rawatan dan pemeriksaan kesihatan di Penjara Sungai Buloh. Semasa berada di hospital luar DSAI dikawal rapi pada setiap masa termasuklah semasa pegawai perubatan membuat pemeriksaan, semasa lawatan oleh keluarga dan peguam. Selain daripada pihak yang dinyatakan di atas, tiada individu lain yang dibenarkan masuk dan berjumpa dengan DSAI. Begitu juga pelawat yang hadir iaitu keluarga dan peguam patuh kepada SOP penjara termasuklah pemeriksaan yang perlu dilaksanakan oleh pegawai penjara terhadap mereka.
- Jabatan sekali lagi menegaskan bahawa kenyataan tersebut amatlah tidak benar dan pihak yang terlibat wajar disiasat. Sehubungan itu Jabatan Penjara tidak akan teragak-agak untuk membuat laporan polis kerana dakwaan ini bukan sahaja menjejaskan imej Jabatan Penjara Malaysia, malah ia menjejaskan imej DSAI sebagai Perdana Menteri.
JABATAN PENJARA MALAYSIA
05 Disember 2023
Kajang, Selangor Darul Ehsan.