KUALA LUMPUR, 28 Nov 2023 – Aman Palestin menyifatkan kenyataan media oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan agensi tersebut, jelas berniat jahat dan sengaja diterbitkan untuk membina persepsi negatif terhadap Aman Palestin.
Dalam satu sidang media, jurucakap yang juga peguam bagi pihak Aman Palestin, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, SPRM sebagai agensi penyiasatan mestilah bertindak adil dalam siasatan.
“Kenyataan media pihak SPRM bertarikh 23.11.2023 pada perenggan ke-3, jelas berniat jahat dan sengaja diterbitkan untuk membina persepsi negatif terhadap Aman Palestin.
“Ianya seolah-olah telah menghukum Aman Palestin bersalah menyeleweng dana RM70 juta (yang dinafikan). Kenyataan-kenyataan SPRM berkait dengan kes ini ternyata tidak cermat, tidak teliti, tidak boleh dipercayai, dan tidak berintegriti.
“SPRM adalah sebuah agensi penyiasatan. Sebagai penyiasat, SPRM mestilah bertindak adil dalam siasatan. SPRM tiada kuasa menghukum. Itu tugas dan bidang kuasa sistem kehakiman di mahkamah. Ujarnya.
Rafique juga menyelar tindakan SPRM yang mengeluarkan kenyataan dari semasa ke semasa tanpa membuat amaran kepada masyarakat untuk tidak membuat sebarang spekulasi, telah menimbulkan pelbagai tohmahan dan fitnah serta menyuburkan persepsi negatif seolah-olah berkomplot dengan pengamal media sosial yang tidak bertanggung-jawab. Ini membawa impak besar terhadap Aman Palestin, ahli lembaga pengarahnya serta keluarga mereka.
“Sehingga kini pelbagai fitnah dilempar terhadap Aman Palestin dan ahli lembaga pengarahnya. Sedangkan ianya langsung tidak benar sama sekali.
“Segala dana serta kutipan diurus dan dikembangkan sebaik mungkin sebelum disalurkan kepada pihak-pihak berkepentingan bertepatan dengan tujuan Aman Palestin ditubuhkan, tambah beliau.
Rafique yang juga Ketua Penerangan Parti Pejuang berkata, kenyataan Media SPRM yang tidak menjelaskan sepenuhnya 41 akaun yang dibekukan telah membawa fitnah jahat bahawa Aman Palestin mempunyai banyak akaun bank, sedangkan hanya 11 akaun Aman Palestin yang digunakan bagi memudahkan penyumbang dan penderma.
Menurutnya lagi, ini merupakan perkara biasa yang dilakukan oleh NGO dan pertubuhan kemanusiaan lain.
“Tindakan SPRM semenjak kenyataan media bertarikh 23.11.2023 sehingga sekarang dengan pembocoran maklumat-maklumat siasatan (yang dinafikan dakwaandakwaan itu) merupakan satu komplot terancang dan propaganda jahat untuk membunuh karakter (character assasination) Aman Palestin dan ahli lembaga pengarahnya.
“Kita menyeru rakyat Malaysia untuk tidak terpengaruh dengan dakyah-dakyah dan fitnah-fitnah jahat terhadap Aman Palestin dan seterusnya sentiasa kekal bersama dengan Aman Palestin bagi menyemarakkan perjuangan yang suci ini apatahlagi ketika mana Gaza sedang diserang. Ujarnya.
Baru-baru ini, SPRM bertindak membekukan 41 akaun dan beberapa entiti syarikat lain pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Aman Palestin berjumlah RM15,868,762 selepas didakwa menyalahgunakan wang sumbangan orang ramai. – malayadaily.com