TERKINI

Kenyataan Tun Mahathir Untuk Kenal Pasti Jati Diri Negara, Bukan Ucapan Kebencian

Haniff Khatri – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 4 Ogos 2023 – Peguam, Haniff Khatri menepis laporan Centre for Independent Journalism (CIJ) yang mengatakan Tun Dr Mahathir Mohamad merupakan penganjur utama dalam menyebarkan kenyataan provokatif berkaitan kaum di negara ini.

Beliau menegaskan, bekas perdana menteri itu tidak menimbulkan sebarang ucapan kebencian kepada mana-mana pihak sebaliknya kenyataan yang dikeluarkannya hanya berkaitan struktur jati diri negara.

“Pendapat diutarakan Mahathir dan pihak yang bersama dengan fahaman tersebut adalah untuk mengenalpasti apa struktur jati diri negara sejak merdeka hingga sekarang iaitu selepas 67 tahun selepas merdeka.

“Secara jujur dan objektif apa yang penting terdapat perbezaan ketara antara peneliti dan pendapat berkaitan struktur dan jati diri negara dan dibandingkan dengan kenyataan berbaur kebencian.

“Tidak semestinya mana-mana kenyataan mengkaji jati diri negara bersifat kebencian, saya tidak nampak mana-mana kenyataan menyatakan perlu ada diskriminasi dan halangan kepada kaum lain,” kata Haniff, dalam satu video yang dimuat naik di laman Facebook miliknya, baru-baru ini.

Haniff berkata, rakyat perlu sedar fakta tidak boleh diubah hanya semata-mata sekiranya terdapat kelompok yang tidak berpuas hati dengan sesuatu perkara.

“Kenyataan itu jelas menyatakan hak bukan Melayu perlu dihormati tetapi apakah jati diri Malaysia. Itu persoalan jika dikaji jika membangkit kemarahan atau kesakitan, fakta tetap fakta dan wajib dihormati dan diikuti.

“Saya berharap rakyat Malaysia berminda lebih luas kerana mana-mana negara kalau nak maju dan perlu maju perlu menghadapi hakikat sebenar supaya tindakan yang dilakukan adalah tindakan yang terbaik.

“Jika hanya kerana semata-mata ada pihak terguris, menganggap ia kebencian maka ia akan mendatangkan mudarat negara tak maju jika rakyat digalakkan menidakkan fakta,” kata Haniff.

Tegasnya, ruang secukupnya perlu diberikan dalam usaha mengenalpasti jati diri negara ini.

“Tak bermakna jika Malaysia dikata mempunyai latar belakang kemelayuan hak bukan Melayu akan ditindas atau dinafikan hak mereka, itu dua perkara yang berbeza.

“Oleh yang demikian semua pihak berikan ruang yang cukup supaya perbincangan berkenaan jati diri negara ini yang bersandarkan bersifat kemelayuan negara dikaji dikenalpasti dan dihormati,” katanya lagi.

Pengarah Eksekutif CIJ, Wathshlah Naidu, seperti dilaporkan akhbar Berita Harian berkata, perkara itu berpotensi meminggirkan kelompok yang lain berdasarkan hirarki kaum Dan kuasa.

“‘Microaggression’ ini berniat untuk mencipta naratif yang mempertembungkan kita dengan konsep mereka dan terbina melalui stereotaip dan maklumat palsu yang disebarkan pihak yang berkuasa.

“Rakyat Malaysia bukan Melayu juga mula meluahkan pandangan mereka soal dikotomi bukan Melayu dan naratif yang memecahbelahkan ini, menggugat rasa kekitaan dan perasaan untuk menyumbang kepada negara ini,” katanya.

Kenyataan-kenyataan Mahathir itu katanya, sekaligus mencetuskan dua kumpulan daripada pengguna media sosial, iaitu kumpulan yang kritikal dan pendukung kenyataan beliau itu.

“Justeru, kita yang berada dalam keadaan berbahaya sekiranya tidak segera menggesa kebertanggungjawaban dari pihak berkuasa, apabila mereka terus menanam rasa benci terutamanya dalam kalangan anak muda di Malaysia,” katanya, seperti dilapor akhbar tersebut.

Kempen ‘Katakan Tidak pada Ucapan Benci’ itu dijalankan bermula pada 24 hingga 30 Julai lalu.

Hasil pemantauan CIJ juga katanya mendapati peristiwa Memali pada 1985 turut disifatkan sebagai serangan terhadap Mahathir, dengan PAS juga didakwa bersubahat dengannya.

Mengikut hasil pemantauan itu, sebahagian daripada hantaran turut mempersoal semula kejujuran kedudukan PAS sebelum ini.

Pemantauan itu dilakukan dengan memproses 18,721 hantaran sepanjang tempoh seminggu dan dikategorikan mengikut tahap keparahan ucapan.

Hasil pemantauan CIJ menemui hampir 85.08 peratus (15,927 hantaran) daripada hantaran media sosial berada pada Tahap 1 yang mengandungi komen umum dan perbezaan yang tidak menyinggung dalam isu diperhatikan.

Sebanyak 14.7 peratus (2,765 hantaran) berada di Tahap 2 (bahasa dan kandungan yang menyinggung atau bersifat diskriminasi), 0.13 peratus (25 hantaran) di Tahap 3 (bahasa dan kandungan yang menyahmanusiakan atau agresif) dan 0.02 peratus (dua hantaran) di Tahap 4 (bahasa atau kandungan yang membabitkan seruan atau ajakan kepada keganasan).

Pemantauan sama juga mendapati naratif umum bagi semua hantaran tersebut masih berpusat pada isu bangsa, agama, jantina dan sasaran terhadap komuniti lesbian, gay, biseksual, transgender dan pelik (LGBTQ+). – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp