KUALA LUMPUR, 6 Jun 2023 – Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air yang juga peguam kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, Rafique Rashid Ali mengecam dan menyifatkan kenyataan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer agar gelaran tertinggi negara “Tun” kepada bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad perlu ditarik balik, sebagai dangkal dan berniat jahat.
Dalam satu kenyataan hari ini, Rafique berkata kenyataan Rayer amat dangkal dan tidak munasabah.
“Ia satu kenyataan yang amat dangkal, tidak munasabah, tidak wajar langsung dari seorang ahli parlimen yang lupa tugas hakiki beliau sebagai seorang peguam adalah untuk mempercayai sistem keadilan negara.
Rafique mempersoalkan integriti Rayer sebagai seorang peguam yang menjunjung undang-undang apabila Rayer mengatakan bahawa kerjasama antara Tun dan Tan Sri Muhyiddin Md Yassin ini akan membawa kepada kehancuran negara?
“Sebagai seorang ahli parlimen dan juga seorang peguam dari parti yang menyatakan bahawa mereka ini reformis, mereka ini akan mempertahan hak kebebasan bersuara, mereka ini akan mempertahankan perlembagaan, dari mana Yb Rayer mendapati bahawa penyatuan antara Tun dan Tan Sri Muhyiddin Md Yassin ini akan membawa kepada kehancuran negara?
Rafique juga menegaskan bahawa apabila bangsa Melayu bersatu, penjajah Inggeris dan Malayan Union ditewaskan hingga penyatuan tersebut membawa kepada kemerdekaan negara.
“Bukankah bila Melayu bersatu, British ditewaskan, bukankah bila Melayu bersatu Malayan Union ditewaskan, bukankah bila Melayu bersatu maka merdekalah negara ini pada 1957.
“Mana dia kehancuran negara kalau orang Melayu bersatu?
“Mana dia pegangan YB Rayer sebagai seorang peguam yang mempercayai konsep bahawa hak bersuara, hak menyatakan pendapat, hak berpersatuan selagai mana ianya menurut lunas undnag-undang, dimanakah ianya boleh membawa kepada kehancuran negara?, soalnya.
Rafique turut menambah bahawa Rayer tidak memahami atau lupa bahawa tugas hakiki seorang peguam terutamanya seorang ahli parlimen yang memahami konsep innocent untill provent guilty (tidak bersalah hingga didapati bersalah).
“Dia tak faham atau dia lupa tugas hakiki dia sebagai seorang peguam terutamanya seorang ahli parlimen yang seharusnya tahu undang-undang dan juga perlembagaan tentang konsep innocent untill provent guilty.
“Dia sendiri menggunakan parlimen untuk menyatakan sesuatu yang mengelirukan masyarakat, nak suruh tarik balik gelaran “Tun” itu adalah satu kenyataan yang berniat jahat. Katanya.
Terdahulu, ahli parlimen Jelutong RSN Rayer dalam satu ucapan di Dewan Rakyat hari ini, membuat gesaan tersebut susulan spekulasi Dr Mahathir sedia menjalinkan kerjasama dengan Bersatu semula dan mendakwa terdapat usaha untuk mengganggu pentadbiran kerajaan campuran diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim. – malayadaily.com