TERKINI

Keputusan petisyen Parlimen Masjid Tanah diketahui hari ini

Mas Ermieyati Samsudin – foto The Star

KUALA LUMPUR, 27 Okt 2023 – Kedudukan Datuk Mas Ermieyati Samsudin kekal sebagai Ahli Parlimen Masjid Tanah atau sebaliknya akan diketahui hari ini.

Ia susulan petisyen difailkan calon Barisan Nasional (BN) Abdul Hakim Abdul Wahid untuk mencabar kemenangan calon Perikatan Nasional (PN) itu di kerusi Parlimen berkenaan atas dakwaan rasuah.

Peguam Amin Othman, yang mewakili Abdul Hakim, mengesahkan hakim Mahkamah Pilihan Raya Melaka, Datuk Abu Bakar Katar, akan membuat keputusan itu pada jam 9 pagi.

Mas Ermieyati kekal Ahli Parlimen Masjid Tanah selepas Mahkamah Tinggi Melaka menolak petisyen difailkan calon BN berkenaan, bagi menafikan kemenangan calon PN itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan memerintahkan petisyen berkenaan dikembalikan kepada Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan penuh.

Pada 19 November 2022, Mas Ermieyati yang juga Naib Ketua Srikandi Bersatu, mempertahankan kerusi Parlimen berkenaan selepas menewaskan tiga calon lain iaitu Abdul Hakim, Mutalib Uthman (MUDA) dan Handrawirawan Abu Bakar (Pejuang).

Dengan undi majoriti 4,411 berbanding Abdul Hakim, beliau menjadi Ahli Parlimen Masjid Tanah bagi penggal ketiga. – Awani

Facebook
Twitter
WhatsApp