TERKINI

Polis panggil Hadi beri keterangan ceramah kempen Simpang Jeram

Abdul Hadi Awang – Foto harakahdaily

KUALA LUMPURA, 28 Ogos 2023 – Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang dipanggil pihak polis untuk memberi keterangan membabitkan ucapannya dalam ceramah kempen di Pilihan Raya Kecil (PRK) Simpang Jeram, baru-baru ini.

Setiausaha politiknya, Shahir Sulaiman berkata, Ahli Parlimen Marang itu juga menyatakan kesediaan untuk memberikan kerjasama bagi membantu pihak polis, selepas dihubungi pagi tadi.

“Pagi ini kami telah dihubungi pihak Bukit Aman untuk mendapatkan keterangan daripada Tan Sri Abdul Hadi Awang, berhubung suatu laporan polis terhadap ucapan beliau dalam kempen pilihan raya di Simpang Jeram, Johor.

“Perkara ini telah pun dimaklumkan kepada beliau dan pihaknya menyatakan kesediaan untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Bukit Aman,” kata Shahir, dalam satu kenyataan.

Shahir berkata, Hadi juga menaruh kepercayaan penuh terhadap profesionalisme pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dalam menjalankan tugas dan siasatan.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan kesalahan susulan siasatan tersebut.

Sebelum ini juga Hadi pernah memberikan keterangan kepada Bukit Aman, termasuklah menyerahkan telefon bimbit milik pengendali akaun Facebook rasmi beliau (Setiausaha Akhbar) kepada pihak Bukit Aman dan SKMM, bagi membantu siasatan. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp