TERKINI

Mereka Memilih Kekal Sebagai Bangsa Negara Asal

Gambar hiasan, peta Nusantara – foto siakap keli

Di luar sana diwar-warkan, kononnya peruntukan Perlembagaan di bawah Perkara 153 adalah peruntukan yang tidak adil kepada bukan Melayu, kerana terdapatnya kedudukan Istimewa Orang Melayu. Maka mereka berjuang untuk menuntut hak sama rata.

Maka kita dapat lihat perlembagaan Parti Tindakan Demokrasi (DAP) yang seolah-olah memberi timbal balas kepada apa yang di peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Contohnya, Matlamat 1, mereka menyebut tentang memperjuangkan Sistem Parlimen Berperlembagaan.

Sistem kerajaan sedia ada ialah sistem demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan, adakah perjuangan mereka adalah untuk menukar sistem kerajaan yang ada? Tiada pula kelihatan disebut tentang kedudukan Raja-raja Melayu.

Matlamat 2, mengesahkan lagi dan memulihkan Perlembagaan Malaysia kepada rangka kerja sekular yang asal, iaitu sistem undang-undang tertinggi negara yang menghormati nilai-nilai demokrasi dan hak asasi manusia dengan memberi hak yang saksama kepada setiap rakyat Malaysia.

Adakah Perlembagaan Persekutuan hari ini tidak cukup sah dan telah rosak maka perlu dipulihkan? Dan mereka mahu memulihkannya menjadi perlembagaan yang sekular.

Mereka juga menuntuk hak saksama, begitu juga di dalam matlamat 10 dan 11, mereka menyebut tentang hak yang saksama dan pendidikan yang berdasarkan merit.

Bukan Melayu sentiasa memainkan isu bahawa keadilan di bawah Perlembagaan Persekutuan tidak begitu menyeluruh dengan kewujudan Perkara 153 yang menekankan kedudukan Istimewa Orang Melayu.

Tetapi bagaimana pula dengan keadilan kepada Bangsa Melayu?

Bangsa Melayu yang tanah airnya dijajah lebih empat ratus tahun, yang kekayaan buminya dirompak sepuas-puasnya.

Setelah merdeka, bangsa Melayu terpaksa pula bersaing dengan bangsa imigran yang mempunyai kelebihan ekonomi dan kepakaran akibat perancangan kolonial Inggeris. Sehingga bangsa Melayu perlu dipapah untuk bersaing dengan bukan Melayu yang telah jauh maju ke hadapan.

Perkara 153 tidak sedikit pun menggambarkan ketidakadilan, Perkara 153 ialah peruntukan untuk melindungi bangsa Melayu, agar bangsa ini tidak dinafikan haknya serta menjamin kewujudannya kekal berterusan.

Perlembagaan Persekutuan telah siap sedia melindungi hak-hak bangsa lain, Perkara 8(1) mempastikan semua orang mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang.

Hakikat sebenarnya mereka sendiri yang memilih untuk tidak layak menerima kedudukan istimewa yang diperuntukkan di bawah Perkara 153, mereka sendiri yang memilih untuk kekal sebagai bangsa asal negara masing-masing, yang datang dari negara India kekal India dan yang datang dari negara China kekal Cina.

Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan terbuka luas kepada sesiapa sahaja di atas bumi ini untuk memenuhi syarat-syarat yang telah ditentukan. Imigran yang datang lebih awal tiada masalah untuk memenuhi syarat-syarat tersebut.

Sebagai contoh, kerana itulah kita pernah mempunyai perdana menteri seperti Tun Hussein Onn, mempunyai hidung yang mancung dan kulit kemerah-merahan. Dilapurkan keturunan beliau berasal dari Turki.

Oleh itu tiada asas untuk mereka menuntut hak sama rata. Lebih-lebih lagi berjuang untuk cuba mengubah Perlembagaan Persekutuan, yang mana ianya ialah satu tindakan yang boleh menyinggung perasaan dan tidak menghormati bangsa Melayu yang merupakan anak watan Tanah Melayu ini.

Kerana mereka sendiri yang memilih untuk tidak menjadi bangsa negara ini, tetapi kekal sebagai bangsa negara asal mereka.

Azman Mohd Hashim SM

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp