TERKINI

Keputusan PRN Bukti Pengundi Tolak Kombinasi Anwar-Zahid

Zahid Hamidi (kiri), Anwar Ibrahim (kanan) – foto kosmo digital

KUALA LUMPUR, 13 Ogos 2023 – Pengundi Melayu menunjukkan dengan jelas mereka menolak kerjasama Umno dan DAP dalam kerajaan perpaduan yang dianggotai bersama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) semalam menunjukkan Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai Bersatu, PAS, dan Gerakan berjaya menjadi pengganti BN dan menjadi pilihan pengundi Melayu.

Walaupun PN gagal merampas Selangor, gabungan itu berjaya menafikan majoriti DUN yang dikuasai PH sejak 2008.

PH berjaya mengekalkan penguasaan di DUN apabila menang 34 kerusi, manakala PN berjaya menguasai baki 22 lagi kerusi DUN.

PH menguasai sebahagian besar DUN Selangor pada PRU14 dengan PAS ketika itu hanya mempunyai satu kerusi.

BN pula hanya menang dua kerusi iaitu satu penyandang di Sungai Air Tawar dan Dusun Tua, kerusi yang diberikan DAP dengan syarat mereka diberikan jawatan Speaker DUN Selangor.

Timbalan Pengerusi Proklamasi Orang Melayu Selangor Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed melihat itu adalah isyarat jelas rakyat menolak kombinasi Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Keputusan ini bukan hanya satu referendum kepada Zahid ia referendum kepada Anwar. Rakyat tak terima kombinasi Anwar dan Zahid. Tak tahu apa yang mereka belajar daripada keputusan itu,” katanya kepada Malayadaily.

Sedangkan DAP katanya menjadi kuasa untuk mendominasi persidangan DUN dengan 15 kerusi dimenangi di samping satu kerusi speaker.

“Yang bertambah kuat DAP dengan jawatan Speaker dia ada 16. Mereka tak hilang apa-apa sebenarnya, mereka ada kuasa mendominasi, boleh kawal perjalanan DUN yang mana itulah punca kuasa di Selangor,” katanya.

Manakala Ahmad Zahid pula katanya sudah patut berundur selepas PRU15 lepas.

“Tetapi adakah dia nak terima ini isyarat yang dia patut berundur, dengan sikap dia sudah tentu dia tak nak berundur.

“Apa yang rasionalnya dia kata Umno masih lagi ada maruah, Terengganu dah bungkus, Kedah dah bungkus, Kelantan hampir pupus. Pulau Pinang tinggal dua. Di Selangor tinggal dua, Sungai Air Tawar penyandang dan Dusun Tua itu pun kerusi dan bagi DAP, mereka ambil speaker.

Negeri sembilan boleh tahan sikit, tetapi PN dah masuk. Dulu masa pilihan raya tak tembus,” katanya .

Di Terengganu PN berjaya menang 32-0 dengan gabungan PH-BN gagal memenangi sebarang kerusi di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

Manakala di Kelantan PN mendominasi 43 daripada 45 DUN di Kelantan. Pada PRU14 lalu PAS menang 37 manakala BN 8 kerusi di negeri itu.

Manakala di Kedah PN mendominasi 33 daripada 36 keseluruhan kerusi DUN Kedah dengan BN hilang semua kerusi.

Keputusan PRN semalam menunjukkan gabungan PH-BN hanya berjaya di Negeri Sembilan apabila menang majoriti dua pertiga dengan BN menyumbang 14 dari 30 kerusi di DUN.

Daripada 108 kerusi yang ditandingi Umno parti itu kalah di 89 kerusi. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp