TERKINI

Kerajaan Anwar cakap lain buat lain, kata Tun Mahathir

Mahathir Mohamad – foto Kosmo Digital

PUTRAJAYA, 30 Nov 2023 – Pentadbiran kerajaan sering melaungkan slogan kononnya mereka anti dan menentang rasuah tetapi bukti menunjukkan mereka melakukan sebaliknya, dakwa Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri itu berkata, tindakan lima ahli Parlimen pembangkang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semata-mata mahu mendapatkan peruntukan, adalah satu bentuk rasuah.

“Lima orang ahli Parlimen Bersatu sekarang tak keluar Bersatu tapi sokong Anwar, wakil rakyat Labuan kata sokong nak dapat duit. Konon nak belanja dalam kawasan. Belanja atau tidak hakikatnya sokongan mereka disebabkan pemberian peruntukan oleh kerajaan.

“Pemberian seperti ini adalah rasuah,” kata Mahathir, dalam program Bicara Negarawan bertajuk setahun pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PHBN) di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, semalam.

Tindakan itu katanya menunjukkan kerajaan secara terbuka mengamalkan rasuah.

“Kerajaan secara terbuka amalkan rasuah sambil kata kami akan perang rasuah habis habisan. Ini double talk. Cakap mempunyai makna lain dan buat benda lain.

“Dinafikan konon tidak ada rasuah tetapi mereka mengaku yang nyatakan sokongan kepada Anwar disebabkan duit. Itu rasuah lah,” kata Mahathir.

Beliau juga mendakwa perdana menteri lebih banyak bercakap dan membuat pengumuman berbanding pelaksanaan.

“Ini kerajaan yang ada. Buat lain kata lain. Apa dikatakan tak pernah diamalkan cuma untuk beri bayangan imej yang cantik.

“Inilah sebabnya kerajaan ini tidak layak jadi kerajaan,” kata Mahathir lagi. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp