PUTRAJAYA, 28 Feb 2024 – Peguam Kanan, Haniff Khatri menggesa kerajaan untuk tidak lagi membuka lebih banyak sekolah vernakular yang menggunakan bahasa pengantar selain daripada Bahasa Melayu.
Haniff, ketika mengulas laporan media mengenai kebimbangan besar Yang di-Pertuan Agong terhadap Malaysia antaranya berhubung isu perpaduan antara kaum yang belum sempurna walaupun negara sudah merdeka lebih 60 tahun.
Beliau berkata, sekiranya satu bahasa pengantar digunakan di semua sekolah, maka generasi muda akan bersatu padu dari zaman kecil hingga ke sekolah menengah, pengajian tinggi dan apabila memasuki alam pekerjaan mereka semua berupaya bertutur dalam satu bahasa iaitu bahasa Melayu yang juga bahasa Kebangsaan.
“Justeru saya menyeru semua sistem kerajaan sekarang untuk sekurang-kurangnya tidak membuka lebih banyak sekolah vernakular menggunakan bahasa pengantar selain daripada bahasa Melayu mulai sekarang dan menubuhkan satu jawatankuasa yang lebih rapi untuk meneliti dan merangka polisi akan datang supaya bahasa pengantar di sekolah sekolah dikhususkan kepada satu bahasa pengantar. Ujarnya.
Baru-baru ini, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah bahawa baginda mengambil maklum memang terdapat segelintir generasi hari ini belum mampu bertutur dalam bahasa Melayu dan gagal menghargai kepelbagaian budaya kaum lain.
Justeru itu, baginda menyeru kerajaan untuk merangka satu dasar ke arah perpaduan rakyat yang lebih kukuh dan harmoni di mana pepatah Melayu ada menyebut, melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Haniff, menerusi rakaman video di facebook beliau, menyeru semua wakil rakyat dan kerajaan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, termasuk Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek untuk mengambil serius saranan Agong.
“Saya menyeru semua wakil rakyat dan kerajaan diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pendidikan, Fadlina Sidek untuk mengambil serius saranan baginda tuanku ke bawah duli Yang di-Pertuan Agong, iaitu berpandukan kepada laporan pendidikan terdahulu seperti laporan Razak 1956 dan Rahman Talib.
“Ia menyatakan dengan jelas bahawa hasrat negara adalah untuk mencapai penggunaan satu bahasa pengantar di semua sekolah iaitu bahasa Melayu. Ujar Haniff.
Pada 20 Feb lalu, Panel tiga hakim yang dipengerusikan Mary Lim Thiam Suan dalam keputusan 2-1, menolak permohonan yang difailkan Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (Mappim) dan Gabungan Persatuan Penulis Malaysia (Gapena).
Sekolah jenis kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil akan terus beroperasi secara sah selepas Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan dua NGO untuk kebenaran memfailkan rayuan untuk membatalkan keabsahan sekolah itu.
Haniff ketika mengulas isu tersebut berkata, sungguhpun keputusan tersebut telah dimuktamadkan, ia tidak bermakna bahawa perkara ini dianggap selesai dari dari sudut sistem tadbir urus negara.
“Isu-isu yang berkaitan dengan polisi kerajaan dan berkaitan dengan kesejahteraan rakyat dan perhubungan diantara perpaduan negara, kerajaan boleh dari masa ke semasa menilai sekiranya ada perkara-perkara yang perlu diperbetulkan, maka undang-undang boleh dilakukan untuk ke arah pembetulan isu-isu tersebut.
“Langkah-langkah diambil untuk menutup sedikit demi sedikit konsep penggunaan bahasa pengantar lain supaya sekolah itu boleh diteruskan tapi dari sudut sekolah kebangsaan ini perlu dibawa menurut permintaan rakyat, melalui kajian-kajian yang rapi dan perlu diputuskan oleh wakil wakil rakyat di Parlimen. Ujarnya. – malayadaily.com