TERKINI

Kerajaan Dituntut Dedah Jumlah Warganegara Baharu Dan Negara Asal Mereka

Zarina Zainal Abidin – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 6 Okt 2023 – Ahli Dewan Tertinggi (ADT) Putra Zarina Zainal Abidin menuntut kerajaan mendedahkan bilangan rakyat asing yang telah diberikan kewarganegaraan Malaysia dan negara asal mereka.

Beliau turut mempersoalkan sama ada mereka telah melalui tapisan ketat sebelum diberikan kerakyatan oleh kerajaan.

“Putra selaku kuasa ketiga parti politik di Malaysia menuntut pihak kerajaan perpaduan telus dalam memberikan info terperinci jumlah sebenar keseluruhan warganegara yang telah diterima masuk ke Malaysia serta negara asal ‘pendatang baru’ berkenaan.

“Apakah mereka ini telah memenuhi syarat-syarat asas tersebut wahai menteri?,” katanya, dalam satu kenyataan.

Zarina yang juga pengerusi biro undang-undang, anti rasuah dan integriti parti itu berkata demikian mengulas pengumuman Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail baru-baru ini, iaitu seramai 9,539 pemohon kewarganegaraan baharu telah diluluskan di Malaysia.

“Apakah ‘pendatang baharu’ ini dengan mudahnya turut menumpang keberuntungan yang sama dan telah lama dikecapi oleh ‘tuan rumah’ terlebih dahulu yang dilahirkan di negara ini?

“Ini merupakan sesuatu yang amat tidak adil dan boleh dipersoalkan sama sekali,” kata Zarina.

Katanya, sebagai sebuah negara berdaulat dan menjunjung prinsip Rukun Negara, adalah menjadi tanggung jawab bagi setiap warganegara dilindungi dengan hak dan diberikan keistimewaan tanpa diganggu gugat dan dipersoalkan oleh mana-mana pihak.

“Kepada ‘warganegara baharu’, ingin dititipkan di sini sebagai pesanan, sebagai seorang rakyat Malaysia anda haruslah fasih bertutur dalam Bahasa Kebangsaan dan tidak boleh tidak mengabaikan lima Rukun Negara yang menjadi teras perpaduan dan gagasan kebangsaan Malaysia.

“Ayuh, rakyat Malaysia, bangun dan bukalah mata anda seluas-luasnya, pandanglah perkara ini secara terperinci. Usahlah sudah terhantuk, baru hendak terngadah.

“Apakah setelah barisan kepimpinan negara bertukar tangan kepada ‘pendatang asing’ yang menghuni di negara kita baru hendak bersilat? Fikir-fikirkan,” katanya lagi. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp