TERKINI

Kerajaan guna ‘delay tactic’ elak PRK di enam Parlimen – Noh

Noh Omar – foto Majoriti

KUALA SELANGOR, 24 Mac 2024 – Kerajaan akan menggunakan ‘delay tactic’ untuk memastikan enam Ahli Parlimen daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menyokong Perdana Menteri tidak dilucutkan jawatan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Kecil (PRK).

Bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar berkata, kerajaan sedaya upaya melambat-lambatkan proses PRK sehingga mencapai mandat selama tiga tahun.

“Di pihak kerajaan saya nampak akan berlaku ‘delay tactic’ sehingga tempoh tiga tahun dan kalau diisytiharkan (kerusi) kosong sekali pun, maka sudah tiada lagi PRK,” katanya.

Noh yang juga pengamal undang-undang memberitahu, buat masa ini, beliau mengandaikan mustahil sekiranya PRK dapat diadakan.

“Pengumuman kekosongan kerusi ini melibatkan dua pihak iaitu Speaker Dewan Rakyat dan mahkamah.

“Speaker akan memberi notis kepada SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya), tetapi dalam perkara ini saya tidak fikir speaker akan mengumumkan kekosongan kerusi tersebut,” jelas beliau

Beliau memberitahu, satu lagi proses menerusi perundangan, namun ia dijangka memakan tempoh masa lama.

“Kalau pergi (kes ini dibawa) mahkamah pun saya nampak ia perlu diselesaikan sebelum tiga tahun dan jika selepas tempoh ini, memang tak perlu diadakan PRK,” ujarnya. – Sinar Harian

Facebook
Twitter
WhatsApp