TERKINI

Kerajaan Perlu Semak semula Pelan Urus Aset Pegawai Tinggi Kerajaan – RasuahBusters

Rasuahbusters – foto Sinar Harian

SHAH ALAM, 16 Ogos 2023 – Kerajaan perlu menyemak semula pelan pengurusan deklarasi aset pegawai-pegawai kerajaan terutama membabitkan pegawai berpangkat tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Nurhayati Nordin berkata, pelan pengurusan sedia ada dilihat masih mempunyai kelompongan yang perlu diperbaiki bagi mengekang budaya rasuah dalam kalangan pegawai kerajaan berpangkat tinggi.

Menurutnya, satu sistem atau prosedur operasi standard (SOP) berhubung pengisytiharan harta dalam kalangan penjawat awam perlu diperkemaskan bagi meletakkan ia di standard tertinggi.

“Pemantauan kepada pengisytiharan yang dibuat boleh menjadi sebahagian langkah awal untuk mencegah perbuatan rasuah oleh pegawai-pegawai yang tidak amanah.

“Yang lebih penting adalah pemantauan yang dilakukan selepas mereka mengisytiharkan harta. Orang sekeliling juga perlu menjadi mata dan telinga pihak berkuasa.

“Jika didapati kehidupan mereka melebihi yang selayaknya, segeralah membuat laporan dan tindakan ini juga saya lihat sebagai salah satu usaha mengekang rasuah,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau mengulas pendedahan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki baru-baru ini mengenai penglibatan penjawat awam gred 54 dalam rasuah yang membimbangkan.

Menurut Azam, kes berprofil tinggi yang menunjukkan peningkatan sejak 2018 itu seolah-olah menjadi perkara biasa dan kebiasaannya melibatkan ahli politik, pemimpin negara, peguam dan lain-lain.

Dalam pada itu, tambahnya, kerajaan juga perlu melabur untuk penyediaan sistem penyeliaan, audit dan pengawasan yang lebih berkesan.

“Untuk itu digitalisasi sistem juga harus diperkasakan agar dapat mengurangkan interaksi terus dengan sektor awam yang selama ini menjadi ruang rasuah berlaku,” tegasnya.

Jelasnya lagi, interaksi dalam talian juga perlu mempamerkan ketelusan data dan fakta perolehan, tender dan sebagainya yang boleh diakses oleh orang awam untuk mengelakkan pihak-pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan dalam mana-mana perolehan atau urusan bersama pegawai kerajaan.

“Ruang terlibat dengan orang awam sangat besar oleh itu peraturan dan prosedur berkaitan pusingan kerja (rotation), kenaikan pangkat, profesionalisme penjawat awam dan latihan perlu disemak semula agar ia seiring dengan isu dan masalah rasuah dihadapi sektor awam pada waktu ini,” jelasnya. – Sinar Harian

Facebook
Twitter
WhatsApp