TERKINI

Qunut Nazilah di Perak diteruskan – Pengarah JAIPk

IPOH, 12 Dis 2023 – Bacaan doa Qunut Nazilah di masjid dan surau seluruh Perak sebagai tanda solidariti kepada rakyat Palestin di Gaza yang menghadapi serangan rejim Zionis Israel, masih diteruskan.

Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) Harith Fadzilah Abdul Halim berkata doa itu boleh diteruskan selagi umat Islam di Gaza masih berdepan dengan ancaman rejim Zionis.

“Kita teruskan dan banyakkan berdoa. Kita tiada masalah tentang Qunut Nazilah ini dibuat dalam setiap solat fardu, malah digalakkan kepada semua perbanyakkan doa untuk sahabat kita di Gaza supaya Allah SWT melindungi mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Hi-Tea Pelancaran Pendidikan, Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Anak Yatim serta Penyampaian Sumbangan kepada Rumah Kebajikan Anak-Anak Yatim Perak di sini pada Isnin.

Baru-baru ini pada 9 Dis lepas, Mufti Pahang Datuk Seri Abdul Rahman Osman dilaporkan berkata bacaan Qunut Nazilah yang dilaksanakan selama sebulan di masjid dan surau seluruh Pahang sebagai solidariti kepada rakyat Palestin, ditangguhkan sementara selaras dengan sunah Rasulullah.

Menurutnya berdasarkan hadis, Rasulullah hanya melaksanakan bacaan doa itu selama sebulan sebelum ia dihentikan. – Bernama

Facebook
Twitter
WhatsApp