TERKINI

Kerusi DUN Nenggiri diisytihar kosong, SPR mesyuarat 28 Jun

Gambar hiasan – grafik-malayadaily

KOTA BHARU, 20 Jun 24 – Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan kekosongan kerusi DUN Nenggiri.

Ia selepas Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin, memberitahu parti itu sudah menyerahkan notis terhenti keahlian serta-merta kepada tujuh wakil rakyat yang melakukan ketidakpatuhan mengikut Fasal 10.4 perlembagaan parti itu.

Dalam perkembangan yang sama, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah menerima pemakluman rasmi mengenai kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Nenggiri, semalam dan Mesyuarat Khas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun itu akan diadakan 28 Jun ini.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Indera Ikmalrudin Ishak berkata, satu sidang media mengenai pelaksanaan pilihan raya pula akan diadakan selepas mesyuarat khas berkenaan.

“SPR sudah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dun Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berhubung dengan kekosongan luar jangka kerusi N43 Nenggiri berikutan penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim sudah hilang keahlian Bersatu pada 13 Jun lalu.

“Sebagaimana diperuntukkan di bawah Fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan, kekosongan luar jangka itu hendaklah diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh SPR menerima pemakluman itu,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Naim yang juga Ahli Parlimen Guan Musang bersama Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik sebelum ini mengikrar sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau sebelum ini memenangi kerusi DUN Nenggiri dengan majoriti 810 undi menewaskan penentangnya, Abdul Aziz Yusuf dari Barisan Nasional pada Pilhan Raya Umum lalu. – Awani

Facebook
Twitter
WhatsApp