TERKINI

Kes Buli : Peguam gesa KPM, Sekolah perhebat kempen ‘buli itu jenayah’

Wan Azliana Wan Adnan – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 12 Dis 2023 – Peguam, Wan Azliana Wan Adnan menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) dan sekolah-sekolah memperhebatkan kempen buli dalam kalangan para pelajar sebagai satu jenayah dalam usaha menangani perlakuan ini secara total.

Memetik laporan MalaysiaGazette, Wan Azliana berkata, perbuatan buli di sekolah tidak boleh lagi diklasifikasikan sebagai masalah disiplin dan tindakan diambil sekadar rotan dan surat amaran sahaja.

Hukuman seumpama itu langsung tidak setimpal dengan kesan mental dan fizikal yang perlu ditanggung oleh mangsa buli.

Mengambil iktibar kepada kes kehilangan, seorang remaja Muhammad Daniel Akmal Zulkhairi yang dilaporkan melarikan diri dari sekolahnya jam 3 pagi pada Khamis lalu, Wan Azliana berkata, kejadian itu cukup menjelaskan betapa remaja berkenaan ketakutan ketika berada di sekolah tersebut.

“Pada saya, apabila dia sanggup lari pada waktu pagi dengan mendedahkan dirinya kepada risiko ia adalah sesuatu yang sangat serius.

“Tindakannya itu menunjukkan pelajar berkenaan merasakan keselamatannya terancam ketika berada di sekolah, justeru dia perlu bertindak.

“Oleh itu, saya berharap KPM, pihak berkuasa yang menyiasat isu buli ini membuat siasatan terperinci dan adil kepada mangsa ini,” katanya.

Wan Azliana menambah, kes pelajar Sekolah Menengah Sains Alam Shah Cheras itu turut menimbulkan persoalan memandangkan keluarga mangsa mendakwa isu buli yang dihadapi anaknya sudah dimaklumkan kepada sekolah dan sudah diselesaikan.

“Kalau sudah selesai bermakna sudah ada permuafakatan. Namun, apa yang berlaku menunjukkan mangsa dibuli lebih teruk selepas kesnya diadukan.

“Inilah masalah sebenar kes buli di sekolah. Mangsa buli yang mendedahkan dia dibuli akan dibuli lebih teruk lagi,” ujarnya.

Oleh itu, katanya, sudah sampai masanya KPM dan sekolah mendedahkan kepada pelajar bahawa perbuatan buli itu satu jenayah.

Makna jenayah itu, boleh diperincikan dengan bentuk hukuman yang boleh dihadapi pelaku, walaupun mereka adalah pelajar sekolah.

Dalam pada itu, tambah beliau, KPM juga perlu melibat semula peranan warden di sekolah-sekolah berasrama.

Ia kerana, warden perlu dipastikan memainkan peranan dan tanggungjawab penuh selepas sesi persekolahan.

“Kita tahu warden asrama juga adalah guru pada waktu siang.

“Disebabkan itu, dalam kebanyakan kes buli berlaku kerana pelajar-pelajar ini tidak diawasi, sebaliknya tanggungjawab tersebut diberikan kepada pengawas.

“Malangnya, ada pula pengawas pula yang menyalahgunakan ‘kuasa’ yang diberikan sehingga mencetuskan kes buli yang berleluasa di sekolah berasrama,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Facebook
Twitter
WhatsApp