TERKINI

Khairuddin lapor Polis, gesa siasatan ke atas Apandali Ali

Khairuddin Abu Hassan (gambar kecil) – malayadaily.com

PUTRAJAYA, 24 Jun 24 – Dato’ Seri Khairuddin Abu Hassan membuat laporan polis menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan ke atas mantan Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali berhubung peranannya dalam menutup kes 1MDB suatu ketika dahulu.

Dalam satu kenyataan, Khairuddin yang juga Ahli Majlis Tertinggi Muafakat Nasional berkata, setelah membaca hujah penghakiman oleh hakim Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonan Apandi Ali, beliau merumuskan bahawa bekas Peguam Negara itu telah menghalang siasatan skandal 1MDB, membantu serta bersubahat dalam kes skandal tersebut.

“Setelah membaca penghakiman yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan yang menolak rayuan permohonan Tan Sri Apandi Ali, dapat dirumuskan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan merumuskan mantan Peguam Negara ini telah menghalang siasatan skandal 1MDB, membantu serta bersubahat dalam kes skandal tersebut.

“Pada hemat peribadi saya, Tan Sri Apandi Ali telah mengkhianati rakyat Malaysia dalam kes skandal 1MDB yang telah pun didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Dalam laporan polis tersebut Khairuddin turut menyatakan bahawa Apandi ketika itu, menjawat jawatan yang amat penting selaku peguam negara dan sikap bersubahat beliau dalam skandal 1MDB tidak boleh dimaafkan sama sekali kerana telah mengakibatkan kehilangan wang negara berbilion ringgit.

“Apandi adalah penjawat awam yang tidak melaksanakan tanggungjawabnya secara professional serta tak bersikap amanah,” dakwanya lagi.

Sebelum itu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terlebih dulu menolak saman RM10 juta Apandi berhubung tulisan Lim yang disiarkan Malaysiakini pada 2019 bertajuk Dangerous fallacy to think Malaysia’s on the road to integrity.

Apandi kemudian membawa kesnya ke Mahkamah Rayuan dan tahun lalu hakim di situ mengekalkan keputusan mahkamah tinggi.

Tengku Maimun yang mewakili panel hakim berkata, panel itu mendapati keputusan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini dibuat berdasarkan penilaian bukti dan prinsip undang-undang.

Justeru katanya tidak ada sebarang isu yang perlukan hujah lebih lanjut di Mahkamah Pesekutuan. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp