TERKINI

Khalid Samad Anggap Pertemuan Dr Mahathir, Hadi sebagai ‘Pakatan Ahzab’

foto – Penerangan Proklamasi Orang Melayu

KUALA LUMPUR, 4 Mei 2023 – Pertemuan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Abdul Hadi Awang yang dianggap sebagai satu ‘Kesepakatan Ahzab’untuk memporak-perandakan negara.

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH), Khalid Abd Samad, berkata jelas sekali pertemuan dua pemimpin itu dalam satu pakatan yang boleh menjatuhkan kerajaan.

“Pakatan ini bolehlah saya namakan ‘Kesepakatan Ahzab’ kerana kesepakatan untuk memporakperandakan negara dengan menjatuhkan kerajaan yang sah,” katanya semalam.

Beliau mengulas mengenai beberapa gambar yang tular di media sosial yang menunjukkan sesi pertemuan di antara bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir dengan Presiden PAS yang turut disertai beberapa pemimpin PAS dan sekreteriat Proklamasi Orang Melayu.

Melalui gambar tanpa keterangan itu, dilihat Abdul Hadi bersama Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hasan dan Penolong Setiausaha Agung Pas Pusat, Mohd Syahir Che Sulaiman.

Khalid berkata, tindakan kumpulan berkenaan akan menyebabkan keyakinan pelabur terjejas dan usaha yang sedang giat dijalankan kerajaan untuk memulihkan ekonomi negara, ketika dunia di ambang krisis ekonomi, terjejas teruk.

Katanya, kumpulan itu tidak kisah kesan tindakan mereka kerana Kesepakatan Ahzab berkenaan hanya mementingkan kuasa.

“Sedang, bila mereka berkuasa tempoh hari, tiada yang bermakna yang telah mereka berjaya usahakan.

“Namun, demi kepentingan bersama dan keinginan berkuasa, musuh kini menjadi kawan,” katanya.

Ahzab merujuk kepada kepungan selama beberapa minggu pada zaman pentadbiran Nabi Muhamad SAW di Madinah membabitkan gabungan suku Arab dan Yahudi di Madinah dan Makkah yang juga dikenali sebagai perang Khandak atau perang Ahzab.

Proklamasi Orang Melayu yang digerakkan Jawatankuasa Proklamasi Orang Melayu didakwa bukan agenda mana-mana parti politik, sebaliknya hanya untuk menyatukan orang Melayu yang semakin berpecah pada masa ini.

Diasaskan Dr Mahathir, empat cuba mengadakan perhimpunan proklamasi itu dibatalkan dan kini kempen proklamasi itu dijalankan secara dalam talian. – Berita Harian

Facebook
Twitter
WhatsApp