TERKINI

Kit Siang Dianugerah Gelaran Tan Sri

Foto – Info Rakyat

KUALA LUMPUR, 5 Jun 2023 – Penasihat DAP Lim Kit Siang menerima darjah kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini.

Kit Siang, 82, adalah pemimpin DAP pertama yang menerima darjah kebesaran persekutuan kedua tertinggi negara itu.

Darjah Yang Mulia Pangkuan Negara, Seri Maharaja Mangku Negara (SMN) atau Darjah Yang Mulia Setia Mahkota Malaysia, Seri Setia Mahkota adalah darjah tertinggi yang membawa gelaran Tun.

Kit Siang pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen di tujuh kawasan sejak 1969 hingga 2022.

Turut dianugerahkan gelaran PSM adalah mantan Menteri Besar Kelantan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Mereka adalah antara 839 individu yang menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2023.

Antara penerima lain darjah kebesaran PSM termasuklah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abdul Rahman Sebli, Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nallini Patmanathan, mantan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh, dan Pengarah Urusan Kumpulan Engtex Group Berhad Datuk Ng Hook.

Selain itu, Pengarah Urusan Kumpulan Maxim Global Berhad Datuk Seri Gan Seong Liam, Pengerusi DPS Resources Berhad Datuk Seri Sow Chin Chuan, Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Sime Darby Plantation Berhad Datuk Seri Dr Nik Norzul Thani N Hassan Thani dan komposer Datuk Seri Dr Ahmad Khan Nawab Khan.

Penerima lain darjah PSM ialah mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Ahli Dewan Negara Senator Datuk Seri Anifah Aman. – Berita Harian

Facebook
Twitter
WhatsApp