TERKINI

PM Perlu Hati-Hati Keluar Kenyataan – Khairy Jamaluddin

Khairy Jamaluddin – foto astro awani

PETALING JAYA, 11 April 2023 – Bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin menasihatkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim lebih berhati-hati mengeluarkan kenyataan melibatkan perkara sensitif yang boleh menyebabkan serangan ke atasnya.

Khairy berkata, beliau menyedari kadangkala Anwar mempunyai tabiat menggunakan ayat dan kenyataan tidak lengkap atau tergantung, sebelum beralih kepada ayat baharu, sekali gus membuatkan pendengarnya keliru.

Ini memudahkan pembangkang melakukan “serangan” terhadap kenyataannya.

“Saya faham konteks perdana menteri (semasa membuat kenyataan) tetapi dari segi komunikasi strategik (perspektif) ia mengundang masalah kepadanya,” katanya dalam episod terbaharu podcast Keluar Sekejap.

Bekas Ahli Parlimen Rembau itu merujuk kenyataan Anwar mengenai Laut China Selatan dan peringatannya agar orang Melayu berhenti bersikap selesa dan sombong.

Khairy mencadangkan pegawai di Pejabat Perdana Menteri menasihatkan Anwar lebih berhati-hati dan mengelak penggunaan ayat tidak lengkap membabitkan isu sensitif, seperti hubungan kaum dan hal ehwal luar negara.

Minggu lalu, perdana menteri berkata Beijing menyatakan kebimbangan terhadap aktiviti Petronas di kawasan Laut China Selatan yang dituntut oleh China.

Ketika bercakap mengenai lawatan rasminya ke China baru-baru ini, Anwar dilaporkan berkata, Putrajaya terbuka mengadakan rundingan dengan Beijing berhubung pertikaian wilayah di Laut China Selatan “jika China merasakan ini adalah hak mereka”.

Kenyataannya itu mendapat pelbagai kritikan daripada pembangkang, terutama pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin yang mendakwa Anwar secara tidak langsung mengakui dakwaan China ke atas kawasan yang secara rasminya milik Malaysia, sambil menambah kedaulatan wilayah Malaysia mesti dipertahankan.

Ahli Parlimen Pagoh itu juga berkata, Anwar harus “lebih tegas” mempertahankan perairan Malaysia selepas beberapa kapal tentera laut China dikesan di kawasan itu.

Selain itu, dalam lawatan rasminya ke Kemboja, perdana menteri mengingatkan orang Melayu supaya tidak selesa dan angkuh sambil berkata mereka perlu mengambil iktibar daripada pentadbiran Kemboja yang meraikan umat Islam di negara itu.

Ini menyebabkan Ketua Penerangan Pemuda PAS Terengganu Irsyad Syafiq Burhanuddin mengkritik Anwar, dengan menyatakan orang Melayu “berjiwa besar” untuk menerima orang bukan Melayu tinggal di “tanah suci Melayu”. – sumber fmt

Facebook
Twitter
WhatsApp