TERKINI

Peguam Negara Didesak Ambil Tindakan Hina Mahkamah Terhadap Azam Baki Dan Menteri

Peguam Haniff Khatri dan WanAzliana

KUALA LUMPUR, 7 April 2023 – Pengamal Undang-undang, Haniff Khatri menggesa Peguam Negara Tan Sri Idris Harun agar mengambil langkah-langkah yang perlu ke arah prosiding penghinaan mahkamah terhadap kesemua pihak, termasuk dan tidak terhad kepada Azam Baki sebagai Pesuruhjaya SPRM dan Datuk Seri Azalina Othman Said, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) berhubung siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas Hakim Nazlan Ghazali baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman facebook, Haniff berpendapat bahawa dakwaan oleh pihak SPRM melalui surat bertarikh 20.02.2023 kepada Ketua Hakim Negara serta dakwaan lanjut Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi Azalina Othman Said, melalui surat bertarikh 20.03.2023 kepada Peguam Najib Razak, Tetuan Shafee & Co, adalah perkara-perkara yang boleh dikatakan cubaan untuk mencabar serta menggugat kebebasan dan kehormatan sistem kehakiman negara.

“Ia adalah cubaan, mempersoalkan keputusan muktamad berkaitan 7 pertuduhan jenayah SRC yang sudah diputuskan oleh rayuan terakhir di mahkamah persekutuan pada 23.08.2022 dan semakan yang juga sudah diputuskan oleh mahkamah persekutuan pada 31.03.2023.

“Mencabar serta menggugat kebebasan dan kehormatan sistem kehakiman negara melalui percubaan untuk mengelirukan rakyat Malaysia dengan dakwaan-dakwaan yang tidak benar, tidak lengkap dan tidak jelas berkaitan bidangkuasa sistem kehakiman dan bidangkuasa pihak berkuasa Jenayah seperti POLIS dan SPRM. Katanya.

Dalam perkembangan yang berkaitan, seorang lagi peguam Wan Azliana Wan Adnan berkata seperti yang dilaporkan oleh Sinar Harian hari ini bahawa Datuk Seri Azalina Othman Said tidak wajar memberi pandangan mengenai siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Hakim Nazlan Ghazali melalui surat bertarikh 20 Mac 2023.

Wan Azliana berkata, pengesahan yang dilakukan oleh beliau (Menteri Menteri di Jabatan Perdana Menteri) boleh menjatuhkan kredibiliti sistem kehakiman negara.

Katanya, sebagai seorang bekas peguam dan menteri undang-undang Azalina sepatutnya faham dan menghormati keputusan yang telah dibuat oleh Mahkamah Persekutuan.

“Azalina seharusnya memberitahu keputusan siasatan SPRM itu sudah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan dan dilakukan tanpa mengambil kira aspek berkaitan kebebasan kehakiman dan tidak mengikut protokol.

“Oleh yang demikian siasatan tersebut tidak boleh lagi dirujuk dan diterima sebagai perkara yang sah. Surat balas itu seolah-olah mempersoalkan integriti kehakiman dan mempertikaikan keputusan mahkamah,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Tambah Wan Azliana, semua pihak harus menghormati keputusan mahkamah dan meletakkan kepercayaan kepada sistem perundangan serta kehakiman negara sebagai institusi yang bebas dan berkecuali. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp