TERKINI

Semua Rakyat Malaysia Selamat Tiba di Jeddah, Ribuan Warga Asia Mula Tinggalkan Sudan

Warga Malaysia di Jeddah – foto berita harian

ANKARA, 28 April 2023 – Ribuan rakyat dari beberapa negara Asia telah meninggalkan Sudan sepanjang gencatan senjata antara tentera dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) selama 72 jam.

Gencatan senjata yang berkuat kuasa pada tengah malam Selasa waktu tempatan, adalah usaha terbaru untuk menghentikan pertempuran yang meletus pada 15 April.

Pakistan telah memindahkan 700 daripada kira-kira 1,500 rakyatnya yang terkandas di Sudan.

Menteri Luar Bilawal Bhutto Zardari menyatakan bahawa kementeriannya telah memindahkan 700 orang dan akan terus mengetuai usaha membantu dan penyelamatan warga Pakistan di Sudan.

“Alhamdulillah, satu lagi konvoi 200 warga Pakistan selamat tiba di Port Sudan,” lapor Anadolu memetik ciapan Kementerian Luar Pakistan di twitter pada Rabu, sambil menambah bahawa kedutaan itu akan terus memudahkan penginapan mereka dan mengatur kepulangan mereka ke tanah air.

Sementara itu, Kementerian Luar Malaysia dalam satu kenyataan berkata kesemua 30 rakyatnya selamat tiba di Jeddah, bandar pelabuhan Arab Saudi.

“Kesemua 30 rakyat Malaysia dan 22 lagi warga asing yang dalam perjalanan dari Khartoum dengan konvoi Malaysia telah dipindahkan ke Jeddah dari Port Sudan menaiki kapal Tentera Laut KSA H.M.S Abha,” kata kementerian itu sambil menambah bahawa semua rakyat Malaysia itu berada dalam keadaan sihat.

Duta Besar Malaysia ke Sudan Mohamad Razdan Jamil juga selamat tiba di Pangkalan Tentera Laut Raja Faisal di Jeddah pada Rabu malam, katanya.

Sementara itu, Indonesia berkata ratusan warganya di Sudan sudah dipindahkan dengan lebih 667 daripada mereka tiba di Jeddah, menurut laporan itu.

“557 warga Indonesia yang dipindahkan dalam fasa I telah tiba di Jeddah. 328 warga Indonesia dalam pemindahan fasa II telah tiba di bandar Port Sudan. Jumlah keseluruhan warga Indonesia yang telah dipindahkan dari Khartoum adalah seramai 897 orang,” menurut Kementerian Luar Negeri di Twitter.

Kumpulan pertama 360 orang India dari Sudan yang dilanda krisis, tiba di New Delhi pada petang Rabu menerusi “Operasi Kaveri,” menurut Kementerian Luar India.

Semasa gencatan senjata selama 72 jam, Filipina juga telah memindahkan 409 warganya dari Sudan ke negara jiran Mesir dengan selamat.

Terdapat kira-kira 740 warga Filipina di Sudan, majoriti daripada mereka adalah pekerja profesional, pekerja ladang atau pertanian, pelajar dan pekerja perkhidmatan isi rumah, kata Agensi Berita Filipina, memetik kenyataan daripada Jabatan Hal Ehwal Luar Negeri.

Korea Selatan memindahkan 28 rakyatnya pada Selasa dan menerbangkan mereka ke Seoul dengan pesawat tentera.

“Kami berada dalam keadaan keliru dan takut,” lapor Agensi Berita Yonhap memetik seorang mangsa yang dipindahkan.

“Saya berharap keamanan akan kembali dan pertempuran di Sudan dihentikan,” katanya.

Menteri Luar Australia Penny Wong turut menggesa rakyatnya meninggalkan Sudan sebelum gencatan senjata tamat pada Khamis malam.

“Rakyat Australia di Sudan boleh mengakses beberapa penerbangan yang dikendalikan oleh negara rakan kongsi hari ini (27 April) dari lapangan terbang Wadi Sayyidna di utara Khartoum. Gencatan senjata 72 jam berakhir malam ini dan penerbangan selepas itu tidak dapat dijamin,” kata Wong dalam ciapannya.

Beliau berkata mereka bekerjasama dengan rakan kongsi dan berjaya memindahkan 60 warga Australia.

“Rakyat Australia yang ingin berlepas perlu segera berbuat demikian. Jika mereka tidak sempat tiba di Wadi Sayyidna, ada feri yang berlepas dari Port Sudan ke Jeddah. Keadaan keselamatan masih berbahaya,” kata diplomat berkenaan. – Bernama

Facebook
Twitter
WhatsApp