TERKINI

KKD Teliti Langkah Perkukuh Pematuhan Undang-undang di Media Sosial – Fahmi

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 12 Okt 2023 – Kementerian Komunikasi dan Digital kini meneliti langkah-langkah yang perlu diambil dalam usaha memperkukuh pematuhan undang-undang di platform media sosial.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata susulan kenyataan Ahli Parlimen ASEAN bagi Hak Asasi Manusia (APHR) semalam berhubung platform media sosial di Malaysia yang harus bertanggungjawab terhadap ucapan berbaur kebencian serta kandungan yang memecahbelahkan.

Beliau berkata sesi libat urus dengan platform dan pengendali utama media sosial seperti TikTok, Telegram, Meta serta X telah dibuat bagi mengkaji beberapa perkara dalam memastikan pematuhan yang lebih baik mengikut lunas undang-undang.

“Kami berharap akan dapat membuat pengumuman penting tidak lama lagi. Saya juga telah bertemu dengan APHR dan ini adalah antara perkara yang saya bangkitkan. Di pihak kerajaan, hari ini kami sering menyaksikan kandungan yang sering kali tular namun tidak disahkan.

“Saya juga telah membaca laporan Al-Jazeera mengenai konflik Palestin-Israel yang berlarutan dan bagaimana banyak berita palsu sedang ditularkan di media sosial. Malangnya, mereka menonjolkan Malaysia sebagai contoh utama berita palsu,” katanya pada sidang media selepas Malam Anugerah Pembangunan Kapasiti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) 2023 di sini.

Susulan laporan Al-Jazeera itu, Fahmi berkata MCMC telah diarah untuk meneliti perkara tersebut.

“Amat malang kerana nama Malaysia telah disebut di arena antarabangsa sebagai penyebar berita palsu mengenai konflik Palestin-Israel. Bagaimanapun, mengenai apa yang dikatakan oleh APHR, pihak kementerian dan pengawal selia pasti akan meneliti perkara ini.

“Seperti yang kita tahu, tiada satupun platform media sosial yang didaftar atau dilesenkan oleh MCMC. Kami perlu memastikan semuanya teratur jadi berikan kami sedikit masa dan kami akan membuat satu pengumuman tidak lama lagi,” katanya.

Mengulas pertemuan dengan TikTok di Parlimen petang tadi, beliau berkata butirannya akan dikongsi melalui kenyataan akhbar esok. – Bernama

Facebook
Twitter
WhatsApp